ARTIKEL SEBELUM

11/07/11

Kuasa Eksekutif Melampau, SPR Keliru

SHAH ALAM 11 JULAI: Kuasa eksekutif di negara ini kini dilihat telah melangkaui institusi di-Raja dalam bentuk mengawal keputusan suruhanjaya yang sepatutnya berperanan sebagai badan bebas.

Menurut Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan, walaupun secara teori Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) misalnya terletak di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, namun realiti menggambarkan agensi itu lebih cenderung kepada kerajaan.

"Masalah yang kita ada ialah eksekutif terlalu berkuasa sampai ketahap badan yang bukan di bawah eksekutif pun menganggap mereka berada di bawah kuasa eksekutif," jelasnya.

Beliau yang dihubungi Tv Selangor mengungkap kegagalan kerajaan menyelesaikan tuntutan gabungan Bersih 2.0 dengan kaedah politik mengakibatkan Tuanku Mizan Zainal Abidin terpaksa membuat kenyataan.

Jelasnya, Agong merupakan rujukan terakhir bagi mana-mana pihak jika setiap rundingan menemui jalan buntu.

"Apa yang berlaku ini adalah isu politik dan saya rasa sepatutnya ianya boleh diselesaikan di peringkat politik dahulu sebelum institusi Di Raja.

"Jadi bila Tuanku Mizan buat kenyataan, bagi saya itu menunjukkan kegagalan kita di peringkat politik untuk menyelesaikan," ujar Wan Saiful.

Gabungan Bersih 2.0 yang dianggotai oleh 62 badan bukan kerajaan mengemukakan lapan tuntutan kepada SPR bersabit penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.

Gesaan itu timbul setelah menemui pelbagai bukti menunjukkan suruhanjaya itu tidak bebas daripada pengaruh kerajaan memerintah demi mengekalkan kuasa.

Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk menggunakan dakwat kekal, penghapusan undi pos, memanjangan tempoh berkempen dan mengekang gejala rasuah dan politik kotor.

Namun SPR berpendirian kesemua tuntutan tersebut tidak munasabah dan menolak sebarang perbincangan lanjut dengan gabungan itu.

Respon daripada kenyataan itu maka Bersih bernekad menganjurkan perhimpunan aman pada Sabtu untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong seperti yang telah diperkenan baginda.

Namun niat murni itu disalah erti oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak dan mengarahkan polis untuk menentang gabungan yang terdiri daripada golongan pertengahan dan rendah itu habis-habisan.

Hasilnya seramai 1,677 telah ditangkap dan puluhan penyokong turut cedera akibat kekasaran polis.

Menurut Wan Saiful, kedua-dua pihak harus dipersalahkan kerana memperlekeh perintah Tuanku Mizan yang mencadangkan supaya isu tuntutan itu dibawa ke meja rundingan.

Jelas beliau, setelah baginda bertitah maka Polis di-Raja Malaysia (PDRM) adalah entiti yang harus menggerakkan peranan mengemukakan cadangan berbincang dengan gabungan Bersih yang dipengerusikan Datuk S. Ambiga.

Namun apa yang berlaku, PDRM adalah agensi pertama yang menutup pintu rundingan menurut Wan Saiful.

Malah penganalisis itu menyifatkan kegagalan itu sebagai malang kepada sebuah negara yang berpegang kepada prinsip raja berpelembagaan.

"Ini masalah kita, institusi yang sepatutnya bebas sudah hilang akan kebebasan itu dan akhirnya semua orang ikut apa yang Perdana Menteri cakap dan tidak ada keberanian untuk menyatakan mereka badan bebas untuk mendengar tuntutan daripada masyarakat umum," katanya.- TVS

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud