Nabihah Hamid
KUALA LUMPUR: Sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat pada 9 Julai ini, ia hanya akan memberikan imej yang lebih buruk kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini kerana tidak pernah mana-mana negara di dunia yang mengistiharkan darurat kerana perhimpunan aman, kecuali di negara yang mengamalkan pemerintahan kuku besi atau diktator.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, tindakan itu bukan sahaja memberikan persepsi buruk terhadap kerajaan Umno-BN, malah imej negara di mata dunia, juga akan turut tercalar.
“Sekatan terhadap perhimpunan menuntut pilihan raya telus ini akan menjadikan negara dipandang setaraf pemerintahan bekas Presiden mesir, Hosni Mubarak dan (Bekas Presiden Tunisia) Zen El Abidien Ben Ali yang secara jelas menentang pilihanraya telus,” katanya.
Semalam, Najib dalam kenyataannya berkata, kerajaan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengisytiharkan darurat, sekiranya perhimpunan Bersih 2.0 diteruskan.
Menurut Rafizi, perhimpunan aman adalah perkara biasa yang dipraktikkan di negara demokrasi dan maju, malah setiap perhimpunan atau perarakan yang dianjr di negara berkenaan sering mendapat kerjasama polis.
Tambahnya lagi, Najib sebagai Perdana Menteri seharusnya bertanggungjawab menjaga keamanan dan bukan memberi jalan dan kuasa kepada polis untuk membenar darurat diisytihar.
Kenyataan Rafizi itu disokong Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, yang mengatakan pengisytiharan darurat hanya akan memburukkan imej Najib dan memalukan negara.
“Ini adalah sesuatu yang memalukan apabila Najib memberikan kuasa kepada polis sama ada isytihar darurat dan penyekatan perhimpunan menuntut pilihan raya telus akan memburukkan lagi keadaan,” kata beliau.
Sebaliknya, kata Mahfuz, sekiranya Najib membenarkan perhimpunan aman itu diteruskan, ia akan memberi imej yang lebih baik kepadanya sebagai perdana menteri.
“Kenapa Najib tidak beri kerjasama dan berfikiran positif dengan kemahuan rakyat. Bukankah rakyat akan melihatnya sebagai seorang yang demokratik,”
“(Tetapi) dengan tekanan dan kongkongan terhadap rakyat, ia akan menambahkan lagi kebencian mereka terhadap Kerajaan Umno-BN,” tegasnya.