KUALA LUMPUR, Pihak polis perlu menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan menghentikan tangkapan ke atas orang ramai berhubung rancangan Bersih untuk mengadakan Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
Sehingga kini pihak polis telah menangkap 100 orang hanya disebabkan mereka memakai baju kuning Himpunan Bersih 2.0, manakala tindakan itu pula jelas bertentangan dengan undang-undang.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, Ahad lalu, 3 Julai, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengeluarkan titah khas yang antara lain menyebut yang Baginda Tuanku sedang mengikuti dengan teliti perkembangan cadangan kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan bagi menyerahkan memorandum kepada Baginda Tuanku.
Menurut beliau, Baginda Tuanku turut menyebut bahawa Baginda Tuanku sendiri turut mengikuti perkembangan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.
Katanya, Baginda Tuanku menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana kerana Baginda selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.
"Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin itu ternyata tidak memihak kepada mana-mana pihak. Ia adalah hasil keperihatinan dan perhatian Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulatnya negara kita ini.
"Jadi kepada pihak Umno, Kerajaan BN, pihak polis, jika mereka menghormati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, mereka mestilah menghentikan segala provokasi dan tangkapan ke atas orang ramai. Jika tidak, bermakna mereka tidak menghormati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika ditemui di Pejabat Agong PAS, di sini, hari ini.
Selain itu, Baginda Tuanku bertitah, setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena amat kesal kerana pihak Umno BN kini terlalu banyak melakukan provokasi mengenai rancangan Bersih untuk mengadakan Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini, sehingga menimbulkan kekeliruan hasil liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman itu.
"Antaranya, pihak polis sendiri awal-awal lagi telah menutup pintu rundingan dengan Bersih. Ini jelas merupakan satu tindakan provokasi. Sedangkan polis sepatutnya berkerjasama dengan Bersih dengan mengadakan rundingan bagi membolehkan perhimpunan itu berjalan dengan sempurna.
"Kini setelah pintu rundingan ditutup dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri pula mahukan rundingan diadakan, apakah pihak polis akan membuka pintu rundingan kembali dengan Bersih?
"Jika polis menghormati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, polis mestilah mengadakan rundingan dengan Bersih, bukannya menjadi alat Umno BN," tegasnya.
Terdahulu dari itu, pada sidang media yang diadakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di tempat yang sama yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Salahuddin Ayub, beliau berkata, dalam titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Baginda Tuanku tidak langsung menyebut tentang Himpunan Bersih 2.0 yang patut dihalang.
"Baginda Tuanku hanyalah bertitah, "Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik".
"Titah Yang di-Pertuan Agong itu juga merupakan satu pengiktirafan terhadap Bersih kerana baginda "tidak kata apa-apa yang negatif terhadap Bersih. Malah, Baginda menyeru kerajaan supaya bertindak secara adil. Ini satu pengiktirafan kepada Bersih," katanya.
Jadi titah Baginda Tuanku itu, katanya, perlu difahami dengan jelas oleh pihak Umno BN dan polis. Ia tidak dirujuk kepada Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti. Selain itu, tidak dinafikan niatnya baik. Jadi jika niat baik, ia tentunya menjadi baik.
"Ini samalah juga dengan himpunan-himpunan aman lain yang pernah diadakan oleh PAS, Pakatan Rakyat dan beberapa NGO sebelum ini.
"Semuanya baik kerana niatnya sememangnya baik. Ia menjadi buruk disebabkan pihak polis yang mencetuskan provokasi. Jika tidak kerana polis yang memburukkannya, ia tetap menjadi baik kerana niatnya memang baik," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kesemua pihak menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu kerana titah Baginda Tuanku itu adalah untuk kesemua pihak.