30/07/11

Fahaman Umno lebih bahaya daripada Wahabi?

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 29 Julai: Keghairahan Umno melalui agensi Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat tuduhan mengaitkan Wahabi dengan pengganas bukanlah sesuatu yang baik untuk negara.

Menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) fahaman Wahabi yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab mempunyai perbezaan dalam perkara furu', tapi bukan soal penafian prinsip Islam.

“Kerana itu, ia diterima dan dianuti oleh kerajaan Arab Saudi dan beberapa negara lain. Arab Saudi, sekurang-kurangnya telah melaksanakan hukum hudud, Qisas dan Takzir, akan tetapi Malaysia masih terkial-kial mencari formula mengatasi masalah jenayah dalam negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Umno dalam sejarahnya, kata Tuan Ibrahim pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina hukum syarak, memperlekehkan sunnah nabi, menganggap negara akan mundur kalau melaksanakan Islam, bahkan lebih teruk dari itu, ada sebilangan pemimpin Umno pernah menganggap politik suku agama suku.

“Fahaman sekular yang dianuti oleh sebahagian pimpinan tertinggi menyebabkan Islam hanya ditadbir sebagai satu jabatan, bukan sebagai satu sistem kehidupan manusia.

"Bukankah ini bukti fahaman Umno yang berdasar sistem pragmatisme sebenarnya jauh lebih bahaya dari Wahabi?” soal beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini menimbulkan kebimbangannya terhadap beberapa tokoh agama di Malaysia, termasuk bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme.

Menurut sumber, dalam taklimat tertutupnya yang antaranya disertai mufti dan wakil majlis agama Islam negeri di Putrajaya, seramai 40 ulama muda Umno turut dikaitkan sama.

"Kerajaan Arab Saudi didakwa menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku. Saudi dikatakan di belakang tokoh-tokoh ini," dakwa sumber itu.

Sebagai reaksi kepada tindakan MKN, Tuan Ibrahim berkata tuduhan mengaitkan beberapa tokoh agama dengan pengganas bukanlah perkara baru, bahkan ianya selaras dengan anggapan Amerika Syarikat terhadap gerakan Islam.

“Cuma yang agak menghairankan bilamana ulamak Muda Umno juga tergolong senarai pengganas.

"Apakah Kementerian Dalam Negeri tidak bercadang mengenakan mereka di bawah Ordinan Darurat, sebagaimana nasib enam aktivitis PSM yang sehingga kini rakyat tidak tahu apa jenis ancaman yang mereka bawa kerana menyokong Bersih 2.0?” soal beliau sambil menyokong saranan Dr Asri Abidin agar 40 ulama muda Umno ini menyemak kembali penyertaan mereka dalam parti itu.

“Tidak terfikirkah bahawa apabila ulamak Umno pun dicop sebagai pengganas, bukankah ini bermaksud pemimpin mereka lebih hebat lagi?

"Tapi, apa yang hairannya, inilah Umno. Bagi mereka, kerja lanun merompak wang negara dengan membunuh karear politik musuh dalaman atau luaran mereka adalah satu kerja yang halal dan wajib dilaksanakan asalkan kuasa politik mereka terjaga,” bidas beliau secara sinis.