ARTIKEL SEBELUM

31/07/11

Dikebumi sebagai seorang lelaki juga...‘Aleesha’ tak sempat pakai baju kurung Pahang baru


ABDUL AZIZ Ahmad memerhatikan isterinya yang hanya mahu di kenali sebagai Mak Yah menyiram air mawar ke atas pusara Mohd. Ashraf di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Kisah kontroversi yang menyelubungi seorang lelaki, Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz selepas permohonannya untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana ditolak Mahkamah Tinggi di sini dua minggu lalu berakhir apabila dia menghembuskan nafas terakhir pagi semalam.

Lelaki berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 4.55 pagi, iaitu hanya sehari selepas mendapatkan rawatan.

Bapa mangsa, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika mengesahkan kematian Ashraf menjelaskan, anaknya itu dimasukkan ke HSNZ pukul 3 pagi kelmarin selepas mengalami muntah yang teruk.

Jelasnya, pihak keluarga juga akur dengan keputusan mahkamah dan telah bersetuju untuk menguruskan serta mengebumikan jasad arwah sebagai Ashraf dan bukannya Aleesya Farhana.

“Semua keluarga terdekat berada di sisi arwah pada saat-saat terakhirnya. Pemergian Ashraf merupakan satu kehilangan besar buat keluarga,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HSNZ di sini semalam.- ks





Ibu: ‘Aleesha’ tak sempat pakai baju kurung Pahang baru

July 30, 2011

KUALA TERENGGANU, 30 Julai — Ibu Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz atau lebih mesra dipanggil “Aleesha”, yang meninggal dunia awal pagi ini terkilan anaknya itu tidak sempat mencuba baju kurung baru yang ditempah untuk dipakai pada sambutan Aidilfitri nanti.

“Arwah tempah baju kurung itu dengan sepupunya dan minta sepupunya menjahit baju kurung Pahang dalam masa satu hari, dan baju itu sempat disiapkan dalam masa ditetapkan.

“Namun, dia tidak sempat untuk melakukan perincian labuci di baju tersebut dan memakai baju kurung warna merah hati itu,” katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Yah, 51, ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Mohd Ashraf Hafiz, 26, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, 5 pagi tadi.

Allahyarham yang mengalami kemurungan dikejarkan anggota keluarga ke hospital pada 3 pagi kelmarin setelah mengalami muntah teruk. Dia disahkan mengalami masalah serangan jantung yang tidak stabil atau “unstable angina with cardiogenic shock” dan tekanan darah rendah.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, di sini, menimbulkan kontroversi apabila mengemukakan permohonan untuk menukar nama di dalam MyKad kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu.

Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

Bagaimanapun, pada 18 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak permohonan itu setelah mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.

Menurut ibunya lagi, sebelum meninggal arwah anaknya selalu menyebut perkataan “tidak sempat”.

“Arwah selalu menyebut perkataan tidak sempat nak berjumpa ahli keluarga, tak sempat nak raya, tidak sempat nak perbaharui lesen memandu dan tidak sempat memakai baju kurung yang baru ditempahnya,” katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Sementara itu ayah Mohd Ashraf Hafiz, Abdul Aziz Ahmad, 60, berkata dia reda dengan pemergian anak ketiganya itu dan menganggap mungkin itu yang terbaik untuk Allahyarham.

“Dia seorang anak yang baik, manja dan rapat dengan semua ahli keluarga. Semasa menghembuskan nafas terakhir, saya, ibunya dan dua adiknya ada di sisi,” katanya.

Katanya bedah siasat di hospital itu mengambil masa kira-kira sejam setengah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Takir 4.30 petang tadi dengan dihadiri sanak saudara dan rakan-rakannya.

Sebelum itu, solat jenazah diadakan di surau hospital HSNZ dan sekali lagi di Surau Haji Wan Muda, Seberang Takir.- Mi

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud