AMPANG JAYA: Usaha seorang suami untuk mendapatkan semula isteri yang meninggalkannya sejak sembilan bulan lalu berakhir dengan insiden di luar dugaan apabila dia cedera di muka, telinga dan bibir apabila dipukul seorang lelaki yang mendakwa sudah berkahwin dengan wanita itu.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ismail, 39, berkata kejadian berlaku ketika dia bersemuka dengan pasangan berkenaan di sebuah rumah di Pandan Jaya di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin. “Lelaki itu berkata dia sudah berkahwin dengan isteri saya, sedangkan saya tidak pernah menceraikannya,” katanya , semalam. Menurutnya, selain dipukul dengan kayu hingga cedera di muka, telinga dan bibir, lelaki berusia 26 tahun itu turut memintanya wang sebanyak RM2,500.
Ismail berkata, isterinya yang berusia 29 tahun dan dikahwini sejak 1995 mula berubah sikap sejak mengenali lelaki terbabit sehingga tergamak meninggalkannya pada Oktober tahun lalu.
Malam kelmarin, Ismail bersemuka dengan isterinya dan lelaki itu di sebuah rumah di Pandan Jaya kerana mahu mendapat penjelasan lanjut serta memujuk isterinya kembali ke pangkuannya.