(Oleh: Ahmad Fadli)
KUALA LUMPUR: Persetujuan Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan di dalam stadium, 9 Julai menunjukkan baginda mengiktiraf tuntutan NGO itu.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail di laman Twitter beliau tengahari tadi mengulas perkenan baginda supaya Bersih berhimpun di stadium sebagai ganti kepada perarakan secara aman di ibukota.
“Tahniah Bersih 2.0, berminggu diserang Umno BN, dicop haram dan segala macam, akhirnya kebijaksanaan YDPA mengiktiraf tuntutan lapan perkara dan mobilisasi 9 Julai,” kata Saifuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Machang.
Ahad lalu, Istana Negara mengeluarkan satu titah agar pendekatan perbincangan digunakan kerajaan Umno BN dalam menghadapi tuntutan Bersih yang menuntut agar reformasi pilihan raya dilakukan.
Lanjutan dari itu, Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, hari ini mengadap Yang Di Pertuan Agong bersama Sasterawan Negara, Datuk A Samad Ismail dan Presiden Jamaah Islah Malaysia, Zaid Kamaruddin untuk mendapatkan nasihat baginda secara khusus.
Ia adalah ironi apabila Tuanku perkenan bertemu dengan NGO itu, yang sebelum ini dakwa dan dilabel oleh kerajaan sebagai pertubuhan haram.
Selesai mengadap, Ambiga mengumumkan Bersih akan berhimpun di stadium pada 9 Julai ini namun stadium yang khusus belum lagi ditetapkan untuk perhimpunan itu.
Sehingga kini lebih seratus aktivis Bersih, penyokong dan pimpinan Pakatan Rakyat ditangkap kerajaan, termasuk aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dikaitkan dengan idealogi komunis kerana mempromosikan himpunan Bersih.
Pejabat Bersih turut digeledah manakala mereka yang memakai baju T Bersih dan kuning turut ditahan polis.
Justeru pimpinan Pakatan Rakyat hari ini turut menggesa kesemua mereka yang ditahan dibebaskan serta merta.