20/07/11

Bongkar rahsia suami durjana

AMPANG: Bapa setan. Itulah yang layak digelar kepada seorang lelaki berusia 42 tahun apabila sanggup merogol anak kandungnya berusia lapan tahun.

Difahamkan, lelaki durjana itu dipercayai melakukan perbuatan terkutuknya sejak setahun lalu sebelum dia melarikan diri selepas perbuatannya diketahui isterinya, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, ibu mangsa berusia 29 tahun turut dipukul di kepala oleh suaminya akibat bertanyakan mengenai perbuatan terkutuk dilakukan kepada anak perempuan mereka.

Wanita terbabit yang kesal dengan tindakan suaminya membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, di sini.


Menurut sumber, kejadian itu terbongkar apabila si isteri terjaga dari tidur dan mendengar tangisan anak perempuannya yang ditidurkan di ruang tamu rumah mereka di Kampung Pasir, di sini.


“Pada mulanya dia menyangka kanak-kanak itu menangis kerana mahukan susu. Dia yang keluar dari bilik melihat suaminya di sebelah anaknya sebelum ke dapur menyediakan susu.

“Sebaik selesai memberikan susu, wanita itu terkejut dan hairan melihat ada kesan seolah-olah minyak pada kemaluan anaknya,” katanya.


Menurutnya, wanita itu bagaimanapun tidak mengesyaki apa-apa sebelum dia melihat kesan sama di kemaluan anaknya beberapa hari kemudian.“Suatu hari, si ibu yang tidak sedap hati bertanyakan kepada kanak-kanak itu berhubung perbuatan bapanya dan kanak-kanak terbabit menceritakan apa berlaku.


Terkejut mendengar pengakuan anaknya, wanita terbabit bertanya pula kepada suaminya menyebabkan lelaki itu naik berang.


“Suspek memukul kepala isterinya selain memaki hamun wanita itu disebabkan perbuatan keji dilakukan selama ini terbongkar,” katanya.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.


Menurutnya, suspek masih diburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.