16/07/11

Bersih: Tiada alasan BN tolak kekerasan polis

KUALA LUMPUR, : Kerajaan BN tidak mempunyai alasan untuk menolak dakwaan-dakwaan penggunaan kekerasan melampau pihak polis ketika menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu kerana kesemua dakwaan itu mempunyai bukti nyata.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan berkata, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu cedera di lutut dan kaki, Khalid Samad cedera di kepala, Datuk Seri Anwar Ibrahim luka di muka.

Manakala Peserta-peserta lain dalam jumlah yang cukup besar, ada yang mengalami kecedaraan lain, patah kaki, patah gigi, ada yang mengalami luka-luka, kesakitan badan, ditendang di badan, kaki, muka, ada yang sesak nafas dan pelbagai kejadian tidak diingini lain.

"Kesemua itu terjadi disebabkan penggunaan kekerasan melampau pihak polis ketika menangani perhimpunan aman itu dan kerajaan mesti bertanggungjawab dengan kesemua kejadian itu," katanya ketika ditemui di sini.

Kesemua kejadian itu, menurut beliau bukanlah dakwaan kosong, tetapi mempunyai bukti kukuh yang bukan sekadar boleh diketahui menerusi laporan media, tetapi turut dirakam dalam bentuk bergambar dan visual.

"Kerajaan tidak boleh menolak lagi bukti-bukti itu kerana ia boleh diperlihatkan oleh pihak Bersih 2.0, PAS dan Pakatan Rakyat pada bila-bila masa yang diperlukan," ujarnya.

Perhimpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai lalu anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), tegasnya, hasil gabungan tidak kurang 60 NGO dan ia sememangnya perhimpunan aman.

"Kesemua peserta tidak membawa sebarang senjata. Semuanya datang hanya untuk satu tujuan, iaitu berhimpun secara aman untuk bersama-sama mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil di negara kita," katanya.

Perhimpunan yang diadakan itu tidak bersalahan dari sisi undang-undang, malah selaras dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta turut mendapat keizinan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan aman di Stadium Merdeka.

Namun beliau hairan apabila Kerajaan BN menangani perhimpunan itu dengan tidak sepatutnya, sehingga pihak polis sanggup bertindak dengan penggunaan kekerasan melampau terhadap para pesertanya.

"Polis mengambil tindakan bertempur dengan rakyat. Rakyat terpaksa berhadapan dengan polis yang lengkap dengan senjata dengan pelbagai kepayahan. Cara kerajaan menangani perhimpunan itu seperti kami ini komunis.

"Patutkah kerajaan bertindak sedemikian terhadap rakyat yang berhimpun secara aman untuk menyampaikan mesej yang murni kepada kerajaan demi kepentingan negara?" katanya.

Akibat tindakan yang melampau itu, kerajaan BN kini ternyata menempah aibnya sendiri di mata dunia. Manakala segala kesulitan dan kecederaan dan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat tidak akan dibiarkan begitu sahaja oleh rakyat.

"Pelbagai tindakan susulan pasti akan diambil. Dewan Pemuda PAS Malaysia sendiri melalui Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) pasti akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan kesemua agensi kerajaan yang terbabit.

"KDN dan PDRM perlu memohon maaf secara terbuka kepada para peserta perhimpunan itu terutama kepada mereka yang mengalami kecederaan.

"Tetapi walaupun tindakan permohonan maaf secara terbuka itu dilakukan, kerajaan, KDN, PDRM tetap juga tidak akan terlepas dari tindakan undang-undang daripada kami," tegas beliau.