16/07/11

Bersih 2.0 : Polis Akui Salah Guna Dana Awam




































SHAH ALAM 16 JULAI : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mempersoalkan sejauh mana kebenaran polis membelanjakan sebanyak RM25 seorang untuk menyediakan makan dan minum kepada peserta Himpunan Bersih 2.0 yang ditahan pada 9 Julai lalu?

“Jika benar, ini bermakna pihak polis sudah menyalah guna dana awam ketika menyediakan makan minum peserta yang ditahan,” ujar beliau yang dipetik dari laman blognya semalam.

Badrul Hisham, yang dikenali sebagai CheguBard, berkata demikian bagi merujuk laporan media yang memetik kenyataan polis apabila cuba membela diri kononya semua peserta Himpunan Bersih diberikan layanan sempurna.

“Bila ditanya kepada mereka yang ditahan, rata-rata memberitahu bahawa mereka makan ayam goreng, sayur, sambal dan nasi kosong beserta dengan air manis. Hah! adakah ini harganya RM25 satu orang?” soalnya.

“Pergilah ke mana-mana pembekal makanan memasak, tanyakan harga menu tersebut untuk lebih dari 1,000 orang makan secara buffet…..rata-rata akan mengatakan RM6 satu kepala malah ada yang akan menawarkan semurah RM4 sahaja jika cara pembayaran dipermudahkan,” jelasnya.

Chegubard berkata, ini bermakna, polis mengeluarkan belanjawan RM25 untuk seorang daripada wang rakyat. Mana pergi lagi RM20? Ini melibatkan salah guna kuasa.

Justeru itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melaksanakan tugasnya untuk menyiasat perkara ini.

Menurut CheguBard, perkara seperti ini sememangnya sudah lama berlaku dimana makanan dalam lokap tidak pernah diperiksa berapakah harga yang diperuntukkan dan bagaimana mutu makanan disajikan serta siapa yang bertanggungjawab meraih keuntungan ‘rasuah’ tersebut?

“Satu lagi teori menurut mereka yang ditahan, jumlah peserta demonstrasi Bersih sebenarnya menjangkau lebih 3,500 orang tetapi sebaliknya yang diisytiharkan ditahan hanya lebih 1,000 orang,” katanya.

Tambahnya, beliau mahu pihak polis memberi penjelasan mengenai adakah benar sebanyak RM25 dibelanjakan untuk seorang peserta dan adakah jumlah yang ditahan melebihi dari jumlah yang diisytiharkan.- tvs