Aziz Muda
KUALA LUMPUR: Anak saudara Allahyarham Baharuddin Ahmad, Azhar Kassim, hari ini tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), di sini, untuk menuntut keadilan di atas kematian bapa saudaranya.
Beliau tampil bersama Jawatankuasa Bersih 2.0, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan beberapa saksi tindakan penggunaan kekerasan tidak munasabah polis lain ketika menyuraikan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
Ketika membuat pengaduannya, Azhar berkata, kematian Allahyarham amat mengejutkan beliau dan seluruh keluarganya kerana Allahyarham tidak mengalami masalah kronik.
"Dia sihat. Dia tak menghidapi masalah jantung. Dia tak ada penyakit lelah. Dia hanya ada sedikit penyakit darah tinggi tetapi tak kronik. Kematiannya berlaku dengan tiba-tiba. Jadi kematiannya amat memeranjatkan saya dan seluruh keluarganya.
"Allahyarham adalah bekas tentera dan kini menjadi polis simpanan. Beliau bukan orang kaya. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak yang masih kecil dan masih bersekolah," katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon kepada pihak Suhakam untuk menuntut keadilan dari pihak kerajaan berhubung kematian bapa saudaranya itu.
Allahyarham Baharuddin Ahmad didakwa meninggal dunia disebabkan kekasaran polis dan kegagalan mereka untuk memberikan bantuan perubatan yang sepatutnya dan pada masanya kepada beliau.
Cerita mengenai punca kematian Baharudin mula merebak sebaik sahaja jenazah Allahyarham dikeluarkan dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) jam 3 pagi 10 Julai lalu selepas menjalani post mortem.
"Empat tulang dadanya didapati patah manakala tiga batang giginya juga patah," kata Azhar kepada pihak Suhakam yang diwakili oleh Naib Pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan Pesuruhjaya Suhakam, Muhammad Sa'ani Abdullah.
Bersih 2.0 dalam kenyataannya 11 Julai lalu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad sambil menuntut pihak berkuasa supaya tidak berdalih lagi dengan hakikat bahawa polis telah menggunakan kekerasan yang berat terhadap para peserta Bersih 2.0.
“Ini (kematian Baharuddin) hanyalah salah satu daripada pelbagai tindakan polis pada 9 Julai yang lalu yang mengakibatkan kecederaan teruk," tegas kenyataan itu.
Sementara empat peserta perhimpunan aman itu yang turut membuat pengaduannya masing-masing menceritakan pengalaman traumatik mereka apabila diperlakukan oleh pihak polis dengan tidak sepertinya.
Salah seorang daripada mereka mendakwa seorang anggota polis mengancam untuk membunuhnya ketika menangkapnya, sewaktu beliau sedang berjalan kaki di hadapan Dataran Pahlawan dengan sepupunya pada jam 4.10 petang selepas perhimpunan itu telah bersurai.
Menurutnya, kemudian dia ternampak sekumpulan FRU hendak menyerbu ke arah seorang lelaki muda yang tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi hanya sedang berdiri di atas jalan.
"Saya meminta mereka jangan memukul lelaki itu kerana dia tidak berbuat apa-apa pun. Anggota FRU menyerbu ke arah saya, manakala sepupu saya yang meminta polis jangan memukulnya, turut ditangkap," katanya.
Beliau mendakwa polis menendang dan menumbuknya semasa ditangkap dan mencederakan di bahagian atas dahinya dan di bahagian bawah tangannya.
Pengadu lain termasuk aktivis Sarawak, Hii Tiong Huat yang ditahan sehari sebelum perhimpunan aman itu turut menceritakan tindakan yang tidak sepatutnya yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beliau, apabila beliau ditendang dan ditumbuk sesuka hati oleh pihak polis.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang turut hadir di pejabat Suhakam hari ini bagi menyerahkan memorandum bagi pihak mangsa-mangsa kekerasan polis pada perhimpunan itu, ketika membacanya pengaduannya antara lain turut menyebut kenyataan awal Bersih 2.0 berhubung kes yang membabitkan Allahyarham Baharuddin.
Manakala antara bukti-bukti kes lain pula yang turut disebut oleh beliau termasuk kejadian cederaan lutut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada hari perhimpunan itu akibat tindakan kekerasan polis yang melanggar motosikal yang ditumpanginya.
Sejurus selepas itu, Mohamad Sabu turut hadir di pejabat Suhakam dengan berkerusi roda yang terpaksa ditolak oleh pembantunya untuk menceritakan sebahagian pengalaman buruknya pada perhimpunan itu kepada pihak Suhakam.