26/07/11

700 ahli Kita berasa ditipu !! Zaid Ibrahim semakin menyimpang daripada perjuangan asal mereka

KUALA LUMPUR – Anggota asal Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) yang ditukar kepada Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) berasa tertipu selepas Presidennya, Datuk Zaid Ibrahim semakin menyimpang jauh daripada perjuangan asal mereka.

Bekas Presiden Akim, Zakaria Salleh berkata, anggota asal parti tersebut pada asalnya menerima Zaid sebagai presiden kerana pada mulanya yakin Zaid akan membawa parti itu ke tahap yang lebih tinggi namun anggapan mereka meleset sama sekali.

Menurutnya, atas kesedaran tersebut, Zakaria menegaskan kira-kira 700 ahli asal akan keluar dari parti Kita dalam satu majlis yang akan diadakan di Taman Uda Murni, Kota Bahru pada jam 9 malam, 30 Julai ini.

“Kami tidak kisah nama Akim ditukar kepada parti Kita, tetapi yang membuatkan kami rasa tertipu adalah dasar parti yang terlalu menyimpang jauh apabila Zaid membuka keahlian kepada bukan Melayu.

“Jika namanya Karpal atau Kit Siang, saya tidak akan menyerahkan jawatan tersebut, tetapi kerana namanya Zaid bin Ibrahim, saya sanggup serahkan,” katanya semalam.

Ditanya sama ada Zakaria akan menubuhkan semula Akim, beliau menegaskan buat masa sekarang tidak perlu kerana mereka akan tunggu dan lihat perkembangan isu ini.

Akim dalam mesyuarat agung tahunannya pertengahan Disember lalu telah menukar namanya menjadi Kita dan mengemukakan permohonan mendapatkan kelulusan menukar nama, logo dan perlembagaan.

Zaid yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri dan calon timbalan presiden dalam pemilihan PKR tahun lalu mengambil alih jawatan baru itu daripada Zakaria Salleh pada mesyuarat agung luar biasa itu.-Sinar