LENGGONG 25 JUN : Keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman ringan terhadap trio Datuk T menguatkan lagi dakwaan selama ini bahawa adanya campur tangan pemerintah dan agensi di bawah mereka dalam menjayakan serangan fitnah ke atas pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang secara konsisten menafikan pelaku dalam video itu adalah dirinya, sekali lagi menegaskan bahawa orang nombor satu negara, Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara adalah dalang utama yang menjayakan serangan video seks lucah itu untuk mengaitkan dirinya.
“Soal video (seks) Datuk T ini, Eskay, Rahim Thamby Chik, Shuib….berapa bulan? Tiga bulan (baru dakwa) ….itu pun kena sikit.
“Siapa Peguam Negara, Gani Patail….arahan siapa? Menteri Dalam Negeri….Perdana Menteri siapa? Datuk (Seri) Najib,” kata Anwar dalam siri jelajahnya ke Perak malam tadi.
Menurut Anwar, keputusan mahkamah semalam memang sudah dijangkakan apabila trio Datuk T yang bertanggungjawab menayangkan video lucah seorang lelaki miripnya di Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu hanya dikenakan hukuman ringan setelah mengambil masa hingga tiga bulan untuk dibawa ke muka pengadilan.
Ketiga-tiga mereka, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Datuk Shuib Lazim dan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik hanya dikenakan hukuman denda RM5,500 untuk kesalahan menayangkan video lucah secara terbuka dan bersubahat melakukan perbuatan itu.
Malah di mahkamah terbuka semalam, peguam yang mewakili Rahim,Datuk Muhammad Shafee Abdullah mengambil kesempatan yang ada untuk terus menyerang Anwar dan bukannya untuk mencari jawab apakah peranan Eskay yang mendakwa dirinya turut berada di tempat kejadian.
Malah ruang itu juga digunakan sebaik-baiknya untuk menyabitkan Anwar membuat laporan polis palsu kerana kononnya laporan dari pakar Amerika Syarikat mendakwa 99.9 peratus lelaki dalam video tersebut mirip Anwar.
Justeru menurut Anwar yang berucap di hadapan kira-kira 4,000 hadirin di pekan Lenggong malam tadi, semua yang berlaku, bermula dari pendedahan video lucah yang mengaitkan dirinya dan perbicaraan semalam adalah sesuatu yang sudah dirancang dengan teliti.
Malah ujarnya, umum mengetahui akan hubungan rapat di antara Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan kerajaan pemerintah.
Oleh itu katanya, maka tidak mustahil lah trio Datuk T yang menjadi tali barut Umno hanya dikenakan hukuman ringan dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Malah menurut Anwar, Rahim yang hanya dikenakan hukuman denda paling ringan iaitu RM1,000 kerana bersubahat, hakikatnya adalah orang penting dalam tiga sekawan itu.
“Yang jadi hero pasal (video) lucah ini Rahim Thamby Chik,” katanya. - tvs