KUALA LUMPUR: Sebuah pusat kajian antara bangsa, Unit Kecemerlangan Penganalisis Ekonomi (EIU) mendedahkan bahawa Umno semakin hilang sokongan daripada Melayu, khususnya Melayu bandar.
Laporan terbarunya menyebut bahawa kehilangan sokongan di kalangan Melayu kelas pertengahan terhadap Umno, disebabkan amalan rasuah dan politik intrik (kotor) yang dilakukan parti pemerintah itu.
Kelompok ini, dikatakan mendapat maklumat meluas dan pembacaan yang lebih terbuka dari media baru di internet.
“Meskipun pengundi di luar bandar di semenanjung Malaysia berterusan menyokong Umno, terdapat cadangan mengatakan parti itu hilang sokongan signifikan dari golongan berpendidikan, Melayu liberal kelas pertengahan,” Kata cabang penyelidikan majalah mingguan, The Economist itu.
Sejak kebelakangan ini, Umno berterusan menggunakan sentimen Melayu dan agama, melalui media dan lidah rasmi mereka seperti Utusan Malaysia dan TV3.
Ia termasuk dakwaan jahat bahawa wujud usaha untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi dan melantik perdana menteri di kalangan penganut agama itu.
Meskipun pelbagai usaha dilakukan Umno, namun tindakan itu gagal menarik sokongan Melayu terhadap parti itu yang semakin berkurangan.