ALOR SETAR: Usaha BN merampas kembali tampuk pemerintahan daripada Pakatan Rakyat melalui manipulasi daftar pemilih dilihat mulai rancak di Kedah selepas ianya di kesan di Selangor sebelum ini. Terbaru, Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Pertama 2011 iaitu bagi bulan Januari hingga Mac yang dipamerkan menunjukkan pertambahan luar biasa melibatkan kemasukan 26,384 pengundi baru.
Jumlah itu tidak termasuk 3,033 yang bertukar alamat masuk sementara 3,685 nama bertukar alamat keluar.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri (JPN) Kedah, Dato’ Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, BN kini sedang menggunakan modal ‘Operasi Terengganu 2004’ dalam usaha tersebut.
Ujarnya, operasi itu diketuai seorang pemimpin Umno yang telah berpengalaman menggerakkannya semasa BN merampas pemerintahan Terengganu daripada PAS pada pilihan raya 2004 dahulu.
“Strategi BN kini adalah meletakkan pemilih di Dun-dun yang mereka kalah tipis pada pilihan raya lalu,” ujarnya pada Ijtimak PAS Kedah, di Kota Sarang Semut, di sini 21 Mei baru-baru ini.
Ujarnya, berdasarkan undi popular 2008, BN berada pada garis kemenangan yang cukup kritikal apabila memperolehi hanya 50.5 peratus undi seluruh negara.
“Tetapi oleh kerana kemenangan pilihan raya berdasarkan jumlah kerusi, bukan jumlah undi, maka dia nampak macam kuat lagi walaupun tidak cukup 2/3 majoriti. Tetapi keputusan itu menunjukkan mereka terjejas teruk,” ulas Phahrolrazi yang juga Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.
Jelasnya lagi, penurunan turut berlaku di Sarawak sebanyak lapan peratus undi popular berdasarkan perbezaan undi pada keputusan pilihan raya negeri yang terbaru dengan terdahulu.
Ujar beliau, sekiranya kadar itu berlaku di Semenanjung Malaysia, bermakna dari segi percaturan pilihan raya, BN akan jatuh.
Sementara itu, Setiausaha JPN Kedah, Kapten (B) Zamri Ibrahim berkata, beberapa contoh keraguan dalam rang tersebut adalah seperti di Parlimen Langkawi dan Parlimen Sungai Petani.
Di Parlimen Langkawi yang melibatkan Dun Air Hangat dan Kuah katanya, berlaku pertambahan masing-masing 969 dan 960 pemilih baru.
Ujar beliau, sekiranya diteliti, pertambahan itu turut melibatkan pelarian politik Rohingya yang diberikan kad pengenalan.
Sementara, di Parlimen Sungai Petani berlaku pertambahan luar biasa melibatkan pemilih berketurunan India di mana sebelum ini telah wujud aduan permohonan luar biasa kerakyatan di Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Sungai Petani.
Jelas beliau, keraguan itu menimbulkan persoalan terhadap taraf kerakyatan yang diberikan sedangkan mereka bukan rakyat tempatan hingga melayakkan didaftarkan sebagai pemilih.
Untuk itu ujarnya, pertikaian tersebut bukan sahaja menuntut ketelusan dari Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, bahkan juga dari pihak Jabatan Pendaftaran Negara.
Ujar Zamri, beliau juga menjangkakan pertambahan luar biasa itu akan terus berlaku dalam Rang DPT seterusnya sebagai persiapan BN mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13.