ARTIKEL SEBELUM

6/06/11

Tulisan Utusan “sampah kepada segala sampah” : Lim Kit Siang


KUALA LUMPUR, 5 JUN – Pandangan Mingguan Malaysia yang mewakili pemikiran kepimpinan UMNO tentang kononnya Lim Kit Siang menjadi dalang dalam pemilihan PAS adalah kewartawanan jenis “sampah kepada segala sampah”.

Ketua Parlimen DAP itu menyatakan tulisan sidang pengarang Utusan yang menyamar di sebalik nama Awang Selamat patut dibaca oleh semua rakyat Malaysia untuk menyedari betapa tenat sakit otak yang menjangkiti kepimpinan UMNO yang berada dalam lingkungan kuasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, beliau sendiri tidak pasti sama ada mahu menangis atau ketawa dengan tulisan yang tidak masuk akal itu yang mahu memperlekehkan minda orang Melayu amnya dan ahli PAS khususnya.

Dengan tajuk “Siapa paling puas?”, tulisan Awang Selamat dalam kolum Bisik-Bisik Mingguan hari ini menuduh Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh yang telah lama membuat perancangan untuk mempengaruhi keputusan pemilihan PAS.

Awang juga menuduh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat tunduk kepada strategi Kit Siang dan Anwar, dengan “membenarkan PAS diperalatkan oleh DAP yang tidak mahu Islam dominan menerusi agenda memperjuangkan kesamarataan”.

Utusan dan UMNO yang selama ini menentang habis-habisan konsep negara Islam PAS melihat keputusan perwakilan di muktamar PAS ke-57 yang didakwa didalangi oleh Kit Siang dan Anwar sebagai “penghinaan dan sabotaj kepada agama Islam itu sendiri.”

Menurut Kit Siang, Utusan sudah melampau apabila memuntahkan racun fitnah, malah lebih teruk daripada laporan berita bohong tentang konspirasi DAP mahu menubuhkan negara Kristian pada bulan lalu.

Katanya, Najib sudah membelanjakan RM70 juta wang rakyat untuk dibayar kepada APCO bagi mempromosikan 1Malaysia tetapi kempen itu disabotaj setiap hari oleh UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional, termasuk tulisan “sampah kepada segala sampah” itu.

“Sebenarnya Pakatan Rakyat lah yang dianggotai DAP, PKR dan PAS yang melambangkan 1Malaysia yang sebenar – menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kawasan kediaman atau kedudukan sosioekonomi.

“Manakala BN yang dipimpin oleh hegemoni UMNO bersama 12 lagi parti komponen yang lemah dan sudah tidak relevan menggambarkan konsep yang sudah ditolak, berpecah dan tidak bersemangat membina negara,” tambah beliau.

Buktinya jelas, kata beliau, apabila MCA dan Gerakan menuduh DAP mengabaikan kaum Cina, India dan kaum-kaum bukan Islam lain untuk tunduk kepada PAS manakala UMNO melalui Utusan pula menuduh PAS adalah alat dan boneka DAP.

“Adakah para pemimpin UMNO dan BN gila, bercelaru otak atau semata-mata opportunis dan bajingan politik?”

“Adakah dalam Barisan Nasional, ada satu tuan dan 12 lagi parti komponen hanya angka-angka di mana mereka dalam BN pun percaya yang PR juga sama seperti mereka – satu tuan dan yang lainnya semata-mata hamba?” soal Ahli Parlimen Ipoh Timur itu.

Beliau menjelaskan Pakatan Rakyat adalah gabungan saksama – tidak wujud bubungan “hamba-tunduk-kepada-tuan” sebagaimana yang berlaku dalam BN.

Sebagai pakatan yang baru ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008, katanya, ketiga-tiga parti Pakatan perlu bekerja lebih gigih untuk menghadapi cabaran PRU ke-13 akan datang.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, masanya telah tiba untuk Pakatan mendalami kefahaman politik dan hubungan erat di antara DAP, PKR dan PAS di semua peringkat, termasuk mengadakan perbincangan dua hala dan tiga hala sesama mereka, mengikut keperluan semasa. – Roketkini.com

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud