Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu masih enggan mengulas berhubung penyebaran video seks sekitar kawasan Ampang yang dikaitkan dengan dirinya.
Ini kerana, katanya, beliau masih tidak tahu menahu dan mahu mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang membuat laporan polis berhubung perkara itu terlebih dahulu.
"Bagi saya tanya Zuraida dulu. Nanti baru saya boleh komen," katanya ketika ketika diminta mengulas berhubung penyebaran VCD itu.
Ditanya sama ada beliau selesa kontroversi kisah silamnya diungkit semula, Mohamad menjawab: "Bagi saya tidak mengapa, (ia) kisah lama."
Awal pagi ini, Zuraida membuat aduan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Ampang Jaya setelah menemui VCD bersama surat palsu dalam peti surat rumahnya yang kononnya dikeluarkan PAS.
Bahagian luar VCD itu memaparkan imej Mohamad - yang baru dipilih sebagai timbalan presiden PAS yang baru - dengan judul 'Skandal Seks Mat Sabu'.
Zuraida mendakwa terdapat penglibatan Umno dalam kerja itu dalam rangka untuk memecah-belahkan kerjasama parti gabungan Pakatan Rakyat.
'Bagi saya tanya dulu'
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Mohamad bagaimanapun memberitahu beliau bersedia mengulas perkara itu selepas menghubungi Zuraida yang juga ketua wanita PKR.
"Boleh, boleh (minta komen). Bagi saya tanya Zuraida dulu," katanya ringkas.
Sementara itu, Zuraida (kanan, tuduh cerah) dalam kenyataannya berkata, "tindakan melampau" itu membuktikan bahawa "budaya politik kotor sudah mula dicemarkan sehingga ke Ampang".
Sambil mengaitkan dengan penyebaran video yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, Zuraida mempertikaikan tindakan polis yang masih belum berjaya mengesan dalangnya.
"Namun sehingga kini tiada sebarang hasil siasatan dari semua laporan polis yang dibuat mengenai penyebaran VCD lucah ini," katanya.
Beliau juga menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak terus berpeluk tubuh dan segera menjelaskan pendiriannya berkenaan perkara itu.
Menurut Zuraida, "penyebaran melampau" VCD sebegitu mencemarkan nilai dan semangat keharmonian kekeluargaan di negara ini.
"Institusi keluarga yang dibina seharusnya suci dari anasir dan budaya lucah sebegini agar masyarakat yang dibina tidak terus cetek dek kerana budaya lucah ini," katanya.
Mohamad pada 1995 pernah dituduh berkhalwat di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan. Mahkamah bagaimanapun menggugurkan tuduhan itu kerana tidak cukup bukti.
Isu melibatkan Mohamad sebagai pemimpin sebagai sebuah parti Islam mencetuskan kontroversi besar dan menjadi modal serangan bertalu-talu lawan politiknya Umno.- mkini