KUALA LUMPUR: KEADILAN menyambut baik keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk tidak membatalkan parti itu, kata Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution.
“KEADILAN menyambut baik keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berpuas hati penjelasan yang dikemukakan di dalam surat tunjuk sebab berkaitan dengan ancaman pembatalan pendaftaran KEADILAN yang diterima oleh parti minggu lalu.
“KEADILAN turut dimaklumkan bahawa pihak ROS juga tidak akan meneruskan tindakan membatalkan pendaftaran KEADILAN,” ujar Saifuddin dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Dengan demikian katanya, KEADILAN juga membatalkan hasrat untuk menyaman ROS kerana isu itu dianggap selesai.
“Justeru pihak parti dengan ini memutuskan untuk membatalkan hasrat menyaman ROS memandangkan perkara ini telah dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Pada 19 Mei lalu, KEADILAN mendedahkan usaha ROS untuk cuba membatalkan parti itu, melalui satu surat tunjuk sebab.
Ia kononnya kerana KEADILAN telah melanggar salah satu fasal dalam perlembagaannya apabila bertindak memecat seorang ahli partinya.
Bagaimanapun, Saifuddin ketika mengadakan sidang medianya menegaskan tidak wujud fasal seumpama itu dalam perlembagaan KEADILAN, malah alasan pemecatan juga tidak boleh dijadikan sebab pengharaman parti.
Malah KEADILAN juga mendakwa surat yang dikirim ROS juga mempunyai banyak kesalahan fakta tentang pemecatan itu seperti tarikh dan nama ahli yang disebut.
Pada selasa lalu, KEADILAN yang diwakili Naibnya, N Surendran memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menghalang ROS meneruskan pembatalan terhadap parti itu.