KUALA LUMPUR 6 JUN : Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin hari ini menolak permohonan peguambela untuk berundur daripada perbicaraan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dikatakan berat sebelah dan menentapkan 13 Julai untuk disambung perbicaraan atas tuduhan fitnah liwat itu.
Zabidin menetapkan tarikh baru itu bagi membolehkan peguam Karpal Singh memfailkan rayuan terhadap keputusan beliau untuk terus menjadi hakim perbicaraan itu. sungguhpun keputusan-keputusannya dianggap melampaui undang-undang.
Ini kali ketiga permohonan Anwar bagi melucutkan Zabidin gagal.
Zabidin berkata permohonan terbaru untuk melucutkan beliau, seperti mana sebelum ini tidak boleh dipertimbangkan.
"Mahkamah dapati tiada merit dalam permohonan ini. Dan mahkamah ini menolak permohonan yang dibuat," kata Zabidin.
Zabidin sebelum ini memutuskan menerima sepenuhnya keterangan pengadu Saiful Bukhari Azlan kononnya beliau diliwat oleh Anwar walaupun belum mendengar pembelaan dari Anwar.
Menurut Zabidin, Saiful adalah seorang yang boleh dipercayai dan "berwibawa". Hakim juga menerima keterangan saksi-saksi pendakwaraya lain termasuk keterangan pegawai penyiasat Jude Pereira yang mengaku tidak mengikut arahan Jabatan Kimia dan Polis dalam penyimpanan bukti-bukti DNA terhadap Anwar.
Dalam pada itu, peguam Anwar, Sankara Nair yang ditemui di lobi mahkamah berkata, pihaknya berharap boleh menyegerakan kes, namun kesal dengan sikap pendakwaraya yang tidak memberi kerjasama dalam mengemukakan saksi.
"Saksi yang diberikan oleh pendakwaraya kepada kita ialah 71 orang, dan pihak kami minta hanyalah 25 orang yang relevan, tetapi sejak tiga minggu lepas hanya 5 orang sahaja yang tampil tetapi saksi utama mereka tidak kemukakan seperti Perdana Menteri dan isterinya, Musa Hassan dan ACP Mohd Rodwan Yusof,"katanya.
Tambahnya lagi, tidak timbul isu pihaknya sengaja melambatkan perjalanan kes dan apa yang berlaku adalah kesan daripada sikap pendakwaraya dan saksi yang terlibat gagal memberikan kerjasama.
"Mereka hanya berikan 5 saksi dan ini tidak berapa releven, bukan masalah sengaja melambatkan kes, pihak kami sejak tiga minggu lalu menunggu saksi dari jam 5 petang di sini, ada yang beri alasan mereka tidak mahu tampil, ada yang janji datang tetapi akhirnya tidak datang, Musa Hassan pula kami tunggu sehari akhirnya kami hubungi polis mereka katakan beliau tidak akan datang, jadi tidak ada isu pihak kami sengaja lambatkan perjalanan kes,"ulasnya lagi.
Mahkamah pada 16 Mei lalu mengarahkan Anwar untuk membela diri berhubung tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya itu pada 26 Jun 2008.
Menurut Zabidin, pendakwaraya telah membuktikan kesemua keterangan dan saksi untuk mempertahankan tuduhan ke atas Anwar.
Walau bagaimanapun menurut Anwar, beliau berhak untuk berdepan dengan sistem mahkamah yang adil dan bukanlah perundangan yang berat sebelah.
Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh itu dituduh meliwat Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.