ARTIKEL SEBELUM

12/06/11

Bila Utusan Cuba MengIslamkan Umno...

Wira Arjuna


KOMENTAR : Sokong bawa rebah. Sepatutnya sebagai akhbar milik Umno, Utusan Malaysia bijaksana untuk memelihara kepentingan politik dan maruah Umno. Namun oleh kerana pimpinan Umno sendiri malas berfikir tanggungjawab untuk menjaga nama baik parti itu sendiri , tugas itu diserahkan kepada mereka yang kurang arif dan golongan yang mempunyai agenda sendiri di akhbar berkenaan.

Bayangkan betapa murahannya politik Umno apabila ada pengarang Utusan sendiri yang mengakui bahawa Islam umno memang banyak kelemahannya. Mungkin didorong oleh hasrat untuk memperagakan kewibawaan dan ketrampilan analisis politiknya, Utusan secara rasmi menyarankan Umno supaya menubuhkan sayap ulamanya sendiri.

Jalan ini telah dirintis oleh PAS, seteru politik Umno. Bagaimanapun pada pengamatan yang kabur pengarang Utusan, PAS dilihat seolah-olah telah mengenepikan golongan ulama dan lantas membuat rumusan peranan ulama dalam PAS sudah tidak releven lagi. Oleh itu, tanpa segan silu, Utusan menyarankan supaya Umno segera mengambil kesempatan politik daripada keadaan ini dan menubuhkan sayap ulamanya.

Apa yang agak melucukan ialah, Utusan mahu beberapa pemimpin PAS yang disyaki tertarik dengan pendekatan politik Umno supaya dijemput menerajui Dewan Ulama Umno yang mahu ditubuhkan ini.

Di sini jelas kedangkalan pengarang Utusan. Jika Umno teruja dengan saranan ini dan melaksanakannya, ia akan menjadi satu pengakuan bahawa Umno selama ini memang yakin bahawa ulama mesti diberi peranan lebih besar dalam mengemudi keperluan politik parti. Atau, dengan perkataan lain, Umno mengakui pengertian Islamnya selama ini lompong dan cacat. Sebab itu, ia memerlukan pimpinan dan panduan ulama.

Dalam nafas yang sama sekaligus ia adalah pengakuan bahawa Umno memang selama ini tidak memberi tempat wajar kepada pandangan Islam dalam tindak tanduk politiknya. Lantas, apabila PAS dilihat kurang mengambil berat soal input agama dalam politik kerana kononnya berkiblatkan kemenangan pilihanraya dan menakluki kuasa memerintah, maka Umno layak (kata Utusan) untuk mengambil alih usaha meletakkan ulama di tempat yang lebih wajar dalam sistem politik negara!

Lebai malang betul Umno ini. Orang-orang yang dianggap panglima komunikasinya di Utusan kini menjadi musuh yang mengaibkan lagi maruah parti itu. Sudahlah rumusan yang mereka (Utusan) buat mengenai muktamar PAS lalu silap, malah cadangan yang dilontarkan kepada majikannya pula cuma menambah contengan arang di muka Umno.

Cadangan itu juga menemplak bahawa memang selama ini Biro Agama Umno memang tidak mempunya ketrampilan, ilmu dan juga wibawa yang cukup ampuh untuk menafsirkan tuntutan Islam dalam politik. Dalilnya, Utusan mencadangkan supaya ulama-ulama yang terpinggir dari PAS dinobatkan sebagai pengemudi jalan agama bagi Umno pula!

Memang tidak sukar difahami mengapa Utusan bersikap demikian. Yang jelasnya, perubahan besar yang berlaku kepada pemikiran politik terkini PAS hingga membariskan golongan profesional memimpin pengurusan parti sebenarnya adalah hasil kempen Utusan sendiri. Dengan membuat pelbagai andaian, sindiran dan ramalan bahawa golongan ulama akan menyapu bersih pimpinan PAS dan menwar-warkan formula Kerajaan Perpaduan akan melindungi nasib Melayu dan Islam di Malaysia, ia sebenarnya menakutkan golongan yang kurang mesra dengan ulama dalam Umno sendiri.

Malah tahniah harus diberikan kepada Utusan kerana berkempen untuk golongan profesional PAS secara efektif kerana dengan memomokkan pimpinan ulama PAS seolah-olah lemah dan akan tunduk serta mahu bekerjasama ke arah Kerajaan Perpaduan dengan Umno.

Maka menjelang muktamar yang baru lalu, perwakilan PAS teruja untuk membuktikan bahawa ulama bukanlah mesti diukur dari insitusi mana mereka menimbu ilmu tetapi ciri-ciri ulama harus dihayati oleh semua barisan pimpinannya. Hatta lahirlah barisan profesional dalam badan pengurusan PAS.

Enggan mengaku pendekatan politik Islam PAS lebih syumul atau komprehensif berbanding Islam tempelan dalam Umno (yang hanya meletakkan Islam di peringkat biro dalam soal pemikiran politik parti), kini Utusan mengesyorkan Umno supaya mempertingkatkan komitmen Islamnya dengan mempunyai sayap ulamanya sendiri.

Umat Islam yang komited pada ajaran agama akan sentiasa berdoa agar Umno benar –benar mengutamakan pandangan ulama dalam keputusan dan tindakan politik mereka. Ini kerana lantaran kabur mengenai pemikiran dan konsep keadilan, kesamarataan insan di hadapan Allah dan juga erti Negara Berkebajikan, Umno selama ini meletakkan taraf dan pandangan ulama sebaris dengan Biro Kebudayaannya sahaja.

Syor Utusan ini benar-benar menyerlahkan betapa dangkalnya pemikiran politik Islam Umno. Adakah dengan meletakkan ulama dalam satu sayap setaraf Pemuda, Wanita atau Puteri dan Puteranya, Umno tiba-tiba akan berjaya mengubah persepsi dan pemikiran rakyat terhadapnya?

Namun sebelum sampai ke tahap itu, yang perlu dipersoalkan ialah, apakah pemimpin Umno hari ini akan serasi dengan pandangan ulama dalam membuat keputusan politik mereka?

Bolehkah dibayangkan betapa Presiden,Ttimbalan Presiden dan ahli Majlis Tertinggi Umno akan akur kepada pandangan ulama bahawa Anwar Ibrahim patut diberi peluang membela diri dengan melaksanakah hukum qazaf terhadap Saiful Bukhari yang jelas tidak ada beliau saksi diliwat?

Begitu juga dengan Datuk Trio – Rahim Thamby Chik, Shazryl Eskay Abdullah dan Shuib Lazim – patutkan mereka dihukum qazaf serta disebat 80 kali kerana menuduh Anwar berzina dan menyebarkan video seks lucah?

Atau, adakah Utusan hendak mengatakan bahawa tahap kefahaman Islam pemimpin Umno selama ini memang kabur dan lebih buruk lagi memang tidak mengikuti ajaran Islam? Sebab itu, agaknya, Utusan tergamak mencadangkan supaya dewan Ulama Umno ditubuhkan supaya dapat “menunjukkan jalan yang benar” kepada pemimpin Umno?

Syor utusan memang berbaur politik. Ia cuba mencadangkan Umno supaya mengambil kesempatan politik daripada apa yang berlaku dalam PAS bagi mencatat satu kemenangann politik. Malangnya, ia menemplak Umno sendiri yang menjadi tauke mereka sebagai “kurang beragama” dan perlu bimbingan Dewan Ulama.

Anggaran 5 hingga 7 peratus pengundi Melayu-Islam akan termakan dengan kelongsong politik bahawa Umno kini lebih Islamik kerana ada Dewan Ulamanya sendiri, adalah satu khayalan, kerana dalam soal Islam selama ini gelagat pemimpin Umno ibarat “cakap tak serupa bikin”. Rasa lebih meloya dan benci mungkin lebih menebal terhadap Umno.

Bak syor Utusan “Satu Melayu, Satu Bumi” sebelum ini, syor kali ini membuktikan bahawa yang paling kuat mengejek Umno sekarang ini ialah juak-juak yang dilantiknya sendiri untuk melakar kempen memburukkan seteru Umno. Ternyata wartawan-wartawan upahan ini bukan sahaja terhad imaginasi mereka malah semakin jauh dihanyut arus politik lucah yang mereka cipta sendiri.


posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud