KUALA LUMPUR, 20 JUN – Sikap UMNO dan Barisan Nasional berdiam diri terhadap “kegilaan” Datuk Ibrahim Ali yang menghina wanita dan agama Hindu, mengancam kaum Cina dan mengisytiharkan dirinya sebagai “jeneral perang” semata-mata kerana takut kepada perhimpunan aman Berish 2.0 membuktikan slogan 1Malaysia hanya khayalan dan penipuan besar.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata tindakan memalukan dan kenyataan menghina oleh Presiden Perkasa itu ketika pelancaran perhimpunan anti-Bersih 2.0 di Kampung Baru adalah penuh dengan hasutan.
“Bukan sahaja gambar-gambar Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan dibakar dan dipijak, malah risalah-risalah yang diedarkan turut mengambarkan dirinya sebagai “Wanita Hindu Yang Merbahaya”.
“Ibrahim Ali juga kemudiannya membangkitkan kembali ancaman 13 Mei, dengan mengisytiharkan dirinya sebagai ‘jeneral perang’ dan memberi amaran keras kepada masyarakat Cina supaya tidak keluar menyertai perarakan Bersih ini.
“Beliau juga mencadangkan agar masyarakat Cina perlu menyimpan bekalan makanan sekiranya sesuatu perkara berlaku. Tidak pernah seorang pun dalam sejarah Malaysia mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan bersifat perkauman dengan menyeru masyarakat tertentu untuk meyimpan bekalan makanan. Kenyataan seperti itu tidak boleh diterima oleh setiap rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Guan Eng mahu UMNO menghentikan perbuatan menyemarakkan sentimen perkauman dan agama kerana ia amat berbahaya dan mendorong kepada kekacauan.
“Hakikatnya, semua rakyat Malaysia hidup secara aman dan tidak mempunyai masalah antara satu sama lain,” tambahnya.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata dasar tender terbuka Pakatan Rakyat di negeri itu juga telah diserang oleh UMNO kononnya ia akan menyekat peluang orang Melayu.
Sedangkan sudah terbukti terbukti dakwaan UMNO salah apabila fakta menunjukkan bahawa 70 peratus kontrak kerajaan negeri Pulau Pinang adalah dimenangi oleh kontraktor Melayu, katanya.
“Ini menunjukkan bahawa bukannya kontraktor Melayu yang tidak mampu bersaing, sebaliknya, kontraktor UMNO yang tidak dapat bersaing di dalam persaingan adil. Sistem tender terbuka diimplementasikan tanpa sebarang rasa tidak gembira dalam kalangan kontraktor Melayu kerana pihak tersebut bukan hanya memperoleh faedah daripadanya, malah, mereka juga berjaya ekoran merit berkenaan.
“Ini jelas terbukti bahawa UMNO, yang kini secara politiknya telah bankrap, tidak mampu untuk mengungkitkan isu lain selain kaum dan agama yang mana ia digunakan bukan hanya untuk menakutkan rakyat malah juga untuk menutup kelemahan-kelemahan mereka,” katanya. – Roketkini.com