ARTIKEL SEBELUM

25/05/11

Umno jangan berlagak kononnya mereka 'hero'....


Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat menasihatkan pemimpin Umno tidak mendabik dada berlagak kononnya mereka 'hero' dan paling awal membantu mangsa tanah runtuh di rumah anak-anak yatim Batu 14 Hulu Langat.

Ketika menceritakan kembali suasana sebenar hari kejadian beliau berkata, bantuan mula tiba seawal jam 3 petang iaitu kira-kira setengah jam selepas kejadian berlaku.

Antara yang terawal tiba di sana menghulur bantuan katanya adalah penyelaras PAS bagi Dun Dusun Tua, Mohd Jan Sulung bersama beberapa rakannya yang mengeluarkan mangsa pertama jam 3.15 petang.

Beliau yang tiba kira-kira jam 3.30 petang kemudiannya turut membantu mangsa bersama Unit Amal dan Briged Amal PAS dengan kehadiran pihak bomba.

"Yang ditonjol media (Adun Semenyih) (Datuk) Johan (Abdul Aziz). Padahal dia datang dah pukul 4 dan tak boleh masuk pun.

"TV3 datang ambil gambar dia seolah-olah Umno lah buat semua," katanya pada sidang media sempena pelancaran Tabung Kemanusiaan Harakah untuk mangsa tanah runtuh tersebut.

Turut serta pada sidang media itu, Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang Sabtu lalu 25 pelajar serta warden Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat tertimbus oleh runtuhan tanah ketika sedang berlatih kompang dan nasyid di khemah bersebelahan cerun bukit.

Ekoran kejadian itu, sembilan daripada pelajar yang terlibat selamat dan 16 lagi terkorban.

"Dari segi senarai yang membantu itu tidak nampak la di mana-mana Briged Amal dan Unit Amal.

"Sedangkan petugas kita hampir 250 orang dan paling ramai," katanya sedikit kesal.

Menurutnya lagi, sepanjang tempoh menyelamat itu, petugas PAS antara paling menonjol sehingga mereka lah juga terlibat semasa proses pengkebumian mangsa yang terkorban.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun melahirkan rasa kesal kerana sumbangan dari pihak PAS seperti dikesampingkan.

Pihak polis juga semasa memberi taklimat tidak menyebut penglibatan Unit Amal dan Briged Amal dan hanya menyebut agensi-agensi lain yang hanya sebilangan kecil terlibat.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, isu publisiti itu bukanlah perkara besar bagi mereka, namun sekadar memberi respon terhadap media yang menonjolkan BN kononnya 'hero' dalam isu itu.

"Saya bagitahu dengan sahabat-sahabat di sana, ini bukan masa nak cari publisiti, tapi masa untuk kita buat kerja selamatkan nyawa seramai mungkin," jelasnya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud