ARTIKEL SEBELUM

27/05/11

Tuduhan Umno, Hanya Untuk Lagakan Perpaduan PR

SHAH ALAM : Pakatan Rakyat tidak akan terperangkap dengan jerangkap samar yang dipasang oleh Umno-Barisan Nasional untuk mengganggu gugat kestabilan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Kisah kononnya DAP sedang merencana gerakan sistematik untuk memenuhi agenda parti itu sendiri adalah suatu taktik yang digunakan untuk menakut-nakutkan masyarakat Melayu di negara ini untuk terus menyokong gagasan itu.

Menurut ahli parlimen dari DAP, Anthony Loke Siew Fook, Umno akan menggunakan apa jua cara namun apa yang paling penting katanya, Pakatan Rakyat tidak harus melatah dengan momokan yang sengaja direkayasa Umno-BN.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkan kononnya DAP sedang mengatur strategi untuk merampas Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan pada PRU akan datang.

"Saya melihat kenyataan daripada Zahid Hamidi ini sebagai usaha yang sengaja dibangkitkan oleh Umno untuk menakut-nakutkan orang Melayu, jadi kita tidak perlu terperangkap dengan kenyataan seperti ini mahupun dari pemimpin Umno yang lain," kata Siew Foke.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Zahid pada Ahad lalu mengingatkan Umno-Barisan Nasional termasuk Pakatan Rakyat supaya berhati-hati dengan tindakan licik DAP.

"DAP juga sedang mengatur strategi untuk memindahkan pengundi dari kerusi yang mereka menang selesa ke kawasan yang dijangka diletakkan calon DAP pada PRU akan datang," katanya.

Mengulas lanjut tuduhan melulu Zahid itu kononnya parti itu meletakkan calon Melayu demi memenangkan DAP, bukanlah sesuatu yang janggal.

"Meletakkan calon Melayu, bukan suatu yang luar biasa kerana selama ini DAP setiap kali PRU sering meletakkan calon Melayu, tetapi untuk melantik mana-mana calon sebagai Menteri Besar ianya pasti menerusi persetujuan dalam kepimpinan Pakatan rakyat (keputusan bersama),"jelas beliau.

Siew Fook yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) sebaliknya kesal dengan dakyah Umno-Barisan Nasional yang berprasangka buruk terhadap parti itu, sekaligus membuktikan betapa terdesaknya parti itu.

"Ini jelas mencerminkan Umno semakin terdesak hari ini, mereka takut kerana orang Melayu mula menerima kepimpinan DAP dan Pakatan Rakyat, jadi perkara seumpama ini ditimbulkan untuk tidak terus kehilangan sokongan dari kaum Melayu,"katanya.

Selain menggambarkan Melayu bakal terpinggir dengan mewarisi situasi di Singapura, Zahid yang juga Menteri Pertahanan turut dilaporkan mendakwa DAP kini dalam usaha mendominasi Pakatan Pembangkang.

Namun hakikatnya kata Siew Fook yang juga ahli parlimen Rasah, isu mendominasi tidak pernah wujud dalam kepimpinan Pakatan Rakyat dan kenyataan itu seakan menggambarkan apa yang berlaku dalam kepimpinan parti itu sendiri.

"Dalam Pakatan Rakyat, tidak ada mana-mana parti yang mendominasi, setiap parti ada kekuatan masing-masing dan sebarang keputusan akan diputuskan menerusi rundingan, tiada isu parti mendominasi," ujarnya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud