SHAH ALAM 12 MEI: Surat amaran yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada akhbar Utusan Malaysia hari ini bersabit artikel "Kristian agama rasmi?" mengesahkan bahawa lidah rasmi Umno-Barisan Nasional (BN) itu melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Justeru Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut hukuman lebih setimpal terhadap penulisan yang telah mengancam keselamatan negara Sabtu lalu selain mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn melepaskan jawatan.
Gesaan tersebut susulan respon yang diberikan menteri itu dengan menganggap tuduhan oleh akhbar Utusan Malaysia amat serius sehingga boleh menganggu ketenteraman awam.
Walhal katanya, lesen penerbitan akhbar mingguan Suara Keadilan dibatalkan serta merta walaupun hanya mendakwa agensi kerajaan Felda akan bankrup melalui urus tadbir yang teruk.
"Tindakan KDN memberi amaran menunjukkan KDN mengakui perbuatan Utusan Malaysia itu satu pembohongan. Maknanya bukan sahaja Utusan perlu diambil tindakan malah saya menuntut Hishammudin meletakkan jawatan sebab dia orang yang pertama memberi respon terhadap kenyataan tersebut dengan menganggap kenyataan Utusan itu serius. Dia tidak layak menjadi menteri." kata beliau kepada Tv Selangor.
Aktikel bertajuk "Kristian agama rasmi?" yang disiarkan pada muka depan akhbar berkenaan minggu lalu mendakwa sekumpulan paderi Kristian berdoa untuk menjadikan agama itu sebagai agama rasmi negara di suatu majlis anjuran DAP di Pulau Pinang
Penulisan tersebut turut menyebut tentang hasrat kumpulan itu untuk mengangkat individu beragama Kristian sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Sehubungan dengan itu pemimpin DAP Jeff Ooi telah membuat laporan polis terhadap artikel terbabit selain mendapat kecaman daripada paderi-paderi gabungan Kristian seluruh negara.
Mahfuz menambah, kerajaan tidak serius menangani isu tersebut malah menuntut akhbar itu memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan DAP yang dituduh sewenang-wenangnya.
"Ini menunjukkan bahawa tindakan memberikan surat amaran ini menggambarkan kerajaan tidak serius dalam memerangi media seperti Utusan. Malah tindakan harus diambil pada Ketua Pengarang Utusan dan juga blogger Umno itu sendiri.
"Utusan perlu minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada masyarakat Kristian dan minta maaf terhadap DAP," ujar beliau lagi.
Dalam pada itu bekas editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib tidak menolak amalan dwi standard yang dilakukan secara terbuka oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sekaligus mencabul kebebasan media di negara ini.
"Saya rasa ini adalah satu sikap 'double-standard' yang ditunjukkan oleh KDN kerana dalam kes Suara Keadilan, ia merupakan satu perkara yang jelas bahawa Suara Keadilan tidak melakukan satu kesalahan yang seserius seperti yang dilakukan Utusan.
"Malah Utusan sepatutnya sudah lama diambil tindakan oleh KDN kerana jelas telah menjejaskan semangat perpaduan dan juga harmoni." ujar beliau.