ARTIKEL SEBELUM

23/05/11

Pelik Si Khairy sokong subsidi ketika mentua jadi PM, bantah waktu Najib


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail menganggap usul Ketua Pemuda umno, Khairy Jamaluddin untuk menentang kenaikan harga minyak sebagai sandiwara politik dan cuba berlagak jaguh terutama ketika menjelang pilihan raya.

Katanya, pendirian itu ternyata berbeza tiga tahun lalu apabila Khairy dilihat menyokong penarikan subsidi dan kenaikan harga barang ketika Tun Abdullah Badawi, yang juga bapa mentuanya menjadi perdana menteri.

“Secara luarannya ucapan beliau dilihat menentang penarikan subsidi dan kenaikan harga petrol dan barang keperluan oleh kerajaan. Ucapan ini nampak seolah-olah lunak, tetapi sebenarnya tidak lebih dari sebuah sandiwara untuk berlagak jaguh rakyat terutama ketika pilihanraya umum semakin dekat.

“Kenapa ketika bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri, Khairy menyokong penarikan subsidi dan kenaikan harga barang, sedangkan ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, Khairy terpaksa meminjam hujah Pakatan Rakyat yang konsisten menentang kenaikan harga barang dan penarikan subsidi kepada rakyat?,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Khairy dalam kenyataan disiar media semalam antara lain menggesa Pemuda Umno seluruh negara membuat usul menentang kenaikan harga minyak kerana membebankan rakyat dan melakukan penjimatan perbelanjaan.

Menurut Saifuddin, ia bertentangan dengan kenyataan ketika Khairy membahaskan usul kenaikan harga petrol dan barangan yang dikemukakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 23 Jun 2008.

Dalam ucapan tersebut yang turut direkod hansard parlimen, Khairy berkata, ” Walaupun pahit dan mengundang pelbagai reaksi negatif rakyat jelata, (namun) keputusan kerajaan menstrukturkan (menarik balik) subsidi merupakan satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan”.

“Beliau (Khairy) juga berkata dengan menaikkan harga minyak dan harga barangan keperluan, kerajaan membuat keputusan yang bertanggungjawab, beramanah dan jauh memandang ke hadapan,” kata Saifuddin.

Saifuddin menambah, Khairy pada waktu itu turut mengakui meskipun rakyat terpaksa memikul beban, penstrukturan semula subsidi membawa sistem yang lebih adil dan progresif.

“Harus diingat, petikan ucapan itu adalah ketika bapa mertua beliau, Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri. Soalan saya, kenapa Khairy sebagai seorang pemimpin utama parti Umno mengubah pendirian prinsipnya hanya dalam masa tiga tahun..

“Saya percaya ini, sikap sebenar Khairy adalah ketika bapa mertuanya menjadi Perdana Menteri dan sikapnya tidak pernah berubah, kecuali untuk mengaburi mata rakyat dan berlagak hero menjelang pilihanraya ke 13,” katanya.- keadilandaily

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud