ARTIKEL SEBELUM

16/05/11

Ladang Rakyat: Nik Aziz mahu saman media


Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media dan pihak yang menuduh kerajaan PAS Kelantan merampas tanah rakyat bagi membangunkan projek Ladang Rakyat.

Nik Aziz (gambar) yang juga Mursyidul Am PAS berkata, hakikatnya kerajaan PAS Kelantan tidak pernah merampas tanah dan kerajaan hanya membangunkan projek ladang rakyat itu di atas tanah kerajaan negeri.

“Kami mana boleh ambil tanah rakyat. Tanah Rakyat adalah tanah yang ada geran,” katanya . Lebih 1,000 anggota badan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda Umno Kelantan yang mengadakan perhimpunan bagi membantah berhubung dakwaan penyelewengan projek ladang rakyat di hadapan kompleks kerajaan negeri di Kota Darul Naim di sini.

Nik Aziz berkata, beliau tidak menghalang jika ada pihak mengadakan demonstrasi tetapi kesal dengan fitnah yang dibuat oleh mereka yang berdemonstrasi kononnya kerajaan merampas tanah rakyat.

Pada sidang media yang sama, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yacob menjelaskan sehingga kini 50,000 hektar tanah di negeri Kelantan telah dibangunkan untuk projek ladang rakyat.

“Projek itu melibatkan 4,500 peserta dengan 10 buah syarikat dilantik untuk membangunkan kawasan projek itu dan hasil keluaran ladang rakyat sejak 2006 sehingga sekarang adalah RM49 juta,” katanya.

Projek Ladang Rakyat dimulakan kerajaan negeri pada 2006 untuk membantu rakyat miskin di mana setiap peserta diberi dividen RM200 sebulan.

Projek ini dan Bazar Tok Guru menjadi sasaran Umno Kelantan melalui gelombang merahnya bagi menyerang kerajaan negeri.

Bagi kerajaan negeri, Umno sangat takut terhadap kejayaan kedua-dua projek terbabit kerana parti itu tidak ada harapan untuk menawan semula Kelantan seperti diimpikan ramai pemimpin Umno.

Ekoran itu pelbagai usaha dibuat untuk mempastikan ia tidak berjaya dan dibantah rakyat. RTM menjadikan agenda berita 'rampasan tanah' sebagai bahan provokasi bagi menghasut rakyat.

Projek Bazar Tok Guru yang bakal menjadi mercu tanda baru perniaga kecil di negeri ini juga mendapat serangan bertubi-tubi Umno dengan berselindung di sebalik persatuan peniaga.

Namun sekarang peniaga tidak lagi mengendahkan Umno dan ramai sudah berdaftar untuk berniaga di bazar terbabit.

Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat diberi tanggungjawab mengurus kira-kira 50,000 ekar tanah bagi melaksanakan program pembangunan ladang kelapa sawit. Pulangannya diberi manfaat kepada rakyat.

Projek pertama bagi pembangunan tersebut melibatkan kawasan seluas 10,000 ekar di Lubok Bongor dan sembilan lagi lokasi lain.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebelum ini berkata, kerajaan negeri tidak memberi sumbangan ‘one-off’ kepada rakyat miskin sebaliknya mewujudkan ladang untuk mendapatkan hasil sebelum diagih kepada mereka.

Katanya, melalui program itu rakyat miskin diberi dividen sebanyak RM200 sebulan daripada hasil keuntungan ladang yang diusahakan dengan kerjasama syarikat swasta.

“Program ini bukannya semata-mata untuk menampung perbelanjaan hidup, tetapi ia merupakan program pendidikan kewangan dan peningkatan taraf hidup. Rakyat miskin akan memasuki ‘akademi ladang rakyat’, sebagai peserta program,” ujarnya.

Tambahnya, mereka akan dibantu sehingga menjadi ‘graduan’ daripada akademik berkenaan, dan diharap dapat keluar dari garis kemiskinan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, keunikan program terbabit iaitu tanah-tanah kerajaan yang diberi milik kepada Ladang Rakyat atas nama Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

“Pemilihan syarikat pemaju dibuat menerusi tawaran terbuka. Melalui program ini syarikat diberi hak untuk membangunkan tanah dengan tanaman kelapa sawit dan membayar setiap awal tahun kepada Akaun Amanah Peserta Program Ladang Rakyat," katanya.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud