ARTIKEL SEBELUM

19/05/11

Ibrahim Ali Boleh Disabitkan Bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan



SHAH ALAM : Seksyen 298A Kanun Keseksaan boleh dikenakan ke atas ahli parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali kerana mencetuskan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci-membenci, niat jahat atau memudaratkan ekoran pengisytiharan perang salib yang dibuatnya.

Namun menurut N Surendran melihat kepada perkembangan semasa dan pengalaman lalu, adalah tidak mustahil seseorang yang membangkitkan isu sensitif dan menimbulkan ketegangan seperti Ibrahim akan terlepas daripada tindakan perundangan.

" Malangnya kuasa mutlak untuk membuat tuduhan adalah hak peguam negara. Dan kita tahu peguam negara berpihak kepada kerajaan," kata Surendran.

" (Namun) kesalahan itu jelas dan itu bukanlah tempat atau hak Nazri untuk melepaskan Ibrahim Ali. Undang-undang dan sistem keadilan jenayah di negara ini perlu diteruskan," tambah Surendran lagi.

Menteri Undang-undang, Datuk Seri Mohd Nazri semalam berkata, tidak ada tindakan yang boleh diambil ke atas Ibrahim kerana kenyataan seumpama itu sudah menjadi norma di Malaysia pada waktu ini.

Katanya, walaupun kenyataan itu mungkin tidak disenangi, tetapi rakyat "perlu hidup" dan "jadi matang" dalam menangani watak-watak seperti Ibrahim Ali.

"Adalah sukar untuk bertindak terhadap Ibrahim sekarang dengan adanya Twitter dan blog... kerana kita tidak boleh memilih dalam membuat membuat pendakwaan," Nazri dipetik sebagai berkata kepada portal Malaysiakini.

Ibrahim pada 14 Mei lalu dalam satu ceramah di Kampung Changkat Gombak berkata, sekiranya orang Kristian meneruskan agenda seperti yang didakwa Utusan Malaysia, beliau akan melancarkan perang salib ke atas penganut Kristian.

Sebelum Nazri, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien membayangkan ugutan Ibrahim untuk melancarkan perang salib bukanlah sesuatu yang memudaratkan.

Hujah beliau, ugutan itu hanya "mencerminkan tahap pemahaman yang berlainan".- TVS

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud