ARTIKEL SEBELUM

15/05/11

Dalam Umno pun ada Kristian!

Ahmad Tajdid

MASIH ingat lagi John Ghani? Beliau ialah perwakilan Umno Sabah dan pertama kali muncul dalam perhimpunan agung parti itu setelah Umno membuka keahlian kepada Bumiputera selain bangsa Melayu.

John Ghani menjadi popular kerana loghat Sabahnya apabila menyebut "zink" sebagai "jink" ketika berucap dalam perhimpunan agung Umno. Antara yang menyiarkan ucapan wakil Sabah dari etnik Kadazandusun beragama Kristian itu adalah Utusan Malaysia, akhbar milik Umno.

Keputusan Umno untuk bertapak di Sabah sebenarnya membawa banyak perubahan kepada dasar, perlembagaan dan landskap parti nasionalis itu. Jika sebelum masuk ke Sabah, Umno dikenali sebagai parti Melayu dan hanya menerima Melayu (yang ditakrif mesti beragama Islam) sebagai ahli; namun setelah masuk ke Sabah, Umno mula menerima ahli bukan Islam asalkan ia seorang Bumiputera.

Seorang Kadazan atau Murut beragama Kristian layak menjadi ahli Umno kerana mereka ialah Bumiputera. Malah Umno telah mencatat sejarah apabila seorang ahlinya yang beragama Kristian, Dato' John Ambrose dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Penampang.

Fasal 4 perlembagaan Umno menyebut bahawa ahli-ahli Umno adalah dua jenis iaitu ahli biasa dan ahli bergabung.

Ahli Biasa ialah Warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berusia 18 tahun ke atas (Fasal 4.2).

Ahli Bergabung adalah sebuah pertubuhan politik yang bersetuju berkerjasama dengan Umno dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (Fasal 4.3). Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) kini menjadi Ahli Bergabung Umno.

Pada Fasal 5 berhubung pendaftaran keahlian, disebut bahawa tiap-tiap orang Melayu dan Bumiputera berhak mendaftar diri sebagai ahli Umno mengikut Perlembagaan dan peraturannya.

Sehubungan itu, bukanlah satu perkara yang pelik bagi Umno mempunyai seorang ahli beragama Kristian asalkan ia seorang Bumiputera. Malah bukan menjadi satu keganjilan jika Umno khususnya di Sabah satu ketika nanti akan dikuasai orang bukan Islam jika majoriti Bumiputera bukan Islam di Sabah mengambil keputusan menyertai Umno.

Sebaliknya seorang Cina dan India beragama Islam tidak diterima menyertai Umno. Ini kerana parti itu menetapkan anggotanya mestilah seorang Melayu atau Bumiputera. Meskipun beragama Islam, seorang Cina atau India tidak boleh menyertai Umno kerana ia parti yang hanya dikhaskan untuk Melayu dan Bumiputera.

Sebagai contoh, walau bagaimana hebat pun seorang Cina itu membela Umno mahupun dasar-dasar Umno dan BN, seperti dilakukan pensyarah kanan Universiti Pertahanan Malaysia, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah; beliau tetap tidak diterima menyertai Umno kerana dia seorang Cina yang hanya layak menyertai MCA atau Gerakan. Malah Ridhuan Tee juga tidak boleh menjadi Ahli Bergabung Umno kerana beliau seorang individu dan bukannya sebuah pertubuhan politik.

Jadi apalah peliknya Umno untuk hidup harmoni dengan lain-lain masyarakat Malaysia berlainan agama kerana parti itu sendiri mempunyai ahli bukan Islam khususnya Kristian? Jika benar pun wujud konspirasi atau pakatan sulit untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, apakah logiknya pakatan itu jika penduduk Kristian di negara ini hanya mewakili 10 peratus jumlah penduduk.

Malah ahli Parlimen DAP Jelutong yang dikaitkan dengan dakwaan konspirasi itu sendiri beragama Buddha dan bukannya Kristian seperti anggapan kebanyakan orang. Majlis itu juga turut dihadiri ahli jawatankuasa DAP cawangan Bukit Tumba, Mohamed Razali Abdul Rahman. Mustahil bagi para paderi dan pastor berkonspirasi untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara dengan kehadiran penganut Islam.

Jika Utusan Malaysia dan pemimpin Umno begitu risau dengan pengaruh Kristian di Semenanjung sehingga boleh menjejaskan taraf Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan, mengapa ia tidak melihat usaha Umno Sabah bagi menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam menyertai parti itu sebagai satu ancaman?

Malah Umno Sabah telah membentuk satu pasukan petugas khas bagi menarik lebih ramai Bumiputera bukan Islam dari kalangan etnik Kadazandusun dan Murut untuk menyertai Umno. Usaha ini, kata John Ambrose adalah untuk menguatkan lagi kedudukan Umno di Sabah.

Langkah Umno Sabah ini, kata Ketua Umno Bahagian Penampang itu mendapat lampu hijau daripada Presiden Umno (ketika itu), Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Dato' Seri Najib Razak.

Mungkin ada di kalangan penyokong fanatik Umno berpendapat bahawa keadaan ini khusus untuk Sabah sahaja dan tiada kaitan dengan politik Semenanjung. Bagaimanapun gerakan yang dipelopori Umno Selangor bagi memindahkan para pengundi Sabah ke Selangor khususnya di Shah Alam boleh menangkis hujah ini.

Kesimpulannya, isu yang digembar-gemburkan Utusan Malaysia bersumberkan dua laman blog pro-Umno itu sengaja ditimbulkan untuk memburuk-burukkan DAP dan mengaitkannya dengan gerakan Kristianisasi. Ia tiada kaitan langsung dengan survival umat Islam mahupun kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Semua episod ini dirancang bertujuan mengocak sentimen umat Islam khususnya bangsa Melayu untuk memastikan sokongan mereka terus kepada Umno. Apatah lagi parti itu ingin dilihat sebagai pembela dan benteng politik Melayu Islam.

Sudah-sudahlah tu... dalam Umno pun dah ada Kristian.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud