ARTIKEL SEBELUM

7/05/11

Chegubard Akui Diri Tidak Disenangi





















SHAH ALAM 7 MEI : Bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat Badrul Hisham Shaharin menegaskan beliau masih ahli seumur hidup PKR tetapi secara terbuka mengakui dirinya "tidak disenangi beberapa pemuka" dalam gagasan Pakatan Rakyat (PR) itu.

Meskipun mengakui beliau ahli seumur hidup PKR namun Badrul Hisham tidak menjawab persoalan yang menjadi tanda tanya banyak pihak sama ada akan keluar PKR untuk menyertai gagasan Pakatan Rakyat (PR) iaitu PAS atau DAP.

Malah tegas Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard”, ini bukan kali pertama isu keluar parti ditujah kepadanya dan mungkin ada yang seronok dan mengharapkan beliau benar-benar meninggalkan PKR.

“Chegubard masih ketua cabang PKR Rembau, ahli seumur hidup PKR. Sejak menjadi ahli Keadilan 1999 saya tidak pernah memperlahankan gerak kerja saya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, mereka yang pro-BN sudah tentu kecewa dan “saya terus diserang kerana mulanya mereka mungkin seronok dengan berita Chegubard keluar parti, namun ternyata mereka makan hati apabila mendengar kononya keluar PKR tetapi masih bersama PR.

Semalam The Malaysian Insider melaporkan Badrul Hisham yang hujung tahun lalu tewas pemilihan jawatan ketua Angkatan Muda PKR disebut-sebut kemungkinan akan keluar PKR, dan jikapun keluar akan menyertai DAP atau PAS.

Pemimpin-pemimpin sayap muda DAP dan PAS pula menjelaskan mereka tidak tahu-menahu mengenai desas-desus itu.

Dalam penjelasannya hari ini, Badrul Hisham menambah, ketika ramai meninggalkan parti semasa tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) lebih satu dekad lalu, “saya melihat suasana kosong yang mendesak, maka saya telah melangkah sepenuh masa bersama perjuangan ini.”

“Saya dituduh pengkhianat dan menyerang parti. Persoalanya apa pengkhianatan saya? Adakah kerana bekerja tanpa henti tanpa menunggu arahan atau kerana saya tegas mendesak ketelusan dalam parti termasuk mendesak penyelesaian laporan penyelewengan ketika pemilihan menyebabkan saya dilihat kianat?” kata beliau lagi.

Badrul Hisham juga berkata, beliau tidak menafikan beliau berdepan dengan pelbagai masalah pascapemilihan selepas mendesak keadilan dan ketelusan.

“Tetapi saya pula dianggap musuh. Saya pertikaian laporan diselesaikan dengan langsung saya tak dipanggil menghadap mana-mana jawatankuasa,” katanya.

Namun katanya, beliau tetap bersabar kerana ada agenda besar menumbangkan BN dan mendesak perubahan dalam negara.

Badrul Hisham juga berkata, pergerakannya sentiasa mengundang cuak puak yang dengki, termasuk program Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berbentuk karnival yang diadakan Febuari lalu mahu dibatal oleh sesetengah pihak dalam PKR dengan menemui Majlis Kerajaan Tempatan untuk tujuan “kami tak dibantu atau dibatal lesen.”

“Ada pula yang menjaja nama Ketua Umum PKR menemui penganjur yang bukan PKR supaya membatalkan program saya di sebelah utara Semenanjung.

“Ini berlaku berulang di beberapa tempat. Untuk rekod SAMM cuba bereksperimen dengan turun ke kawasan PKR sebagai NGO mendekati anak muda,” katanya yang juga pengerusi SAMM.

Kata Badrul, jika beliau mahukan jawatan banyak cara yang boleh digunakan untuk memperolehinya, malah “saya pernah menolak tawaran pun.”

Badrul Hisham menolak pelantikannya sebagai penolong setiausaha agung selepas tewas pemilihan pusat tahun lalu.

“Selaku anak muda saya yakin tidak salah mengimpikan sebuah gerakan yang sempurna dan untuk itu saya terus dan akan terus mendesak dan mengasak untuk perubahan itu,” katanya lagi.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud