ARTIKEL SEBELUM

26/05/11

Bila ‘utusan’ menjadi pedang Umno

WaniBrah


Sebuah akhbar nasional sudah sah sebagai penyebar khabar fitnah terhadap parti Islam PAS. Paling jelas, acap kali akhbar itu memutar isu-isu yang dicakapkan oleh pemimpin PAS secara songsang. Malah turut menyiarkan tohmahan dan kenyataan prasangka pemimpin Umno terhadap PAS.

Akhbar yang dikatakan ‘pemangkin fikiran rakyat’ itu adalah sebenarnya sudah menjadi surat beracun yang mempamerkan nilai fikiran ‘celaru’ (mental disorder) tatkala menyiarkan berita dan ulasan terhadap PAS dan kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan. Ia sudah sah sebagai akhbar yang mewakili ‘golongan penentang’ kepada segala usaha pentadbiran Islam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berat sebelah

Terbaru pada 23 Mei lalu, akhbar tersebut sudah menyiarkan tajuk yang berat sebelah dan mengkhianati misi pentadbiran Islam. Ia boleh diibaratkan sebagai ‘pedang Umno’ untuk memancung kebijaksanaan majoriti rakyat Kelantan kerana memilih PAS dan mengamanahkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai menteri besar.

Sekurang-kurangnya ada empat tajuk ditulis secara tidak adil terhadap PAS. Tajuk itu ialah “PAS peralat pelajar sekolah agama, Nik Aziz racuni pemikiran pelajar, Perjuangan negara Islam, hukum hudud PAS semakin kabur – Isa, dan Nik Aziz bertopeng imej warak.”

Munajat dikatakan perhimpunan

Memahami tajuk itu, jelas ia mengandungi putaran kerisauan, kekecewaan dan sikap pengecut para pemimpin Umno terhadap kejayaan Kerajaan Negeri Kelantan menganjurkan “Munajat Anak Muda Kelate”, 20 Mei 2011 di Padang Perdana, Kota Bharu (lihat foto).

Justeru kejayaan program tersebut telah menjadikan akhbar bergelar ‘utusan’ itu menjadi semacam cacing kepanasan. Maka terserlahlah segala-gala nilai kumpulan minoriti (puak Umno) yang sedang menentang golongan majoriti (pendukung perjuangan PAS) di Negeri Kelantan.

Berdasarkan tajuk Nik Aziz racuni pemikiran pelajar” apakah ia suatu hakikat? Berdasarkan cara ulasannya, ternyata ia bukan berita. Jauh sama sekali untuk dikatakan sebagai analisis. Jika laporan itu berupa berita, semestinya ia dilapor secara tepat dan benar. Jika ia suatu analisis, sepatutnya pandangan sisi yang dirujuk hendaklah kepada pihak yang pakar.

Dukacitanya, akhbar itu sudah mencelarukan pembaca kerana peristiwa sebenar ialah Munajat Anak Muda Kelate siudah dilapor secara salah sebagai perhimpunan pemuda PAS. Sedangkan tujuan munajat itu suci dan tulus bermaksud kebangkitan generasi muda (termasuk remaja) yang insaf untuk bermunajat dan mendengar ucapan pemimpin serta bersama ikon anak muda. Mungkin sifat ‘sasau’ akhbar tersebut yang bermotif politik seumpama Umno menyebabkan hakikat munajat sudah dianggap sebagai program himpunan 10 ribu jentera Pemuda PAS Kelantan (lihat foto).

Demikian pula, pandangan sisi yang dirujuk adalah seorang pemimpin ketua bahagian Umno Cheras yang memang tidak hadir, jauh sama sekali menyaksikan persitiwa tersebut. Ketua bahagian itu jelas seorang pre-disorder kerana mengomen dengan bahasa jahil tentang apa yang berlaku pada program tersebut.


Kenyataan ketua bahagian Umno yang pre-disorder itu patut ditolak kerana reaksinya mungkin berpandukan rujukan kepada laporan akhbar tersebut atas tajuk “PAS peralat pelajar sekolah agama" yang jelas tersasar dari kebenaran. Masakan PAS yang memperalatkan pelajar sekolah agama, kerana penganjur program munajat itu adalah Urusetia Pembangunan Belia Kerajaan Negeri Kelantan dengan kerjasama Yayasan Islam Kelantan. Urusetia Pembanguan Belia bukan PAS. Ia agensi Kerajaan Negeri di bawah Exco Belia. Begitu pula Yayasan Islam adalah peneraju utama pendidikan Islam anjuran Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Exco Pendidikan. Yayasan Islam bukannya markaz tarbiyah PAS.



Maka, akhbar tersebut sudah bertaraf tukang fitnah apabila membaca di sebalik tajuk yang dilapor memetik kenyataan Naib Presiden Umno yang menjaga askar. Naib Presiden itu telah menganggap munajat itu sebagai himpunan meniupkan semangat membenci Umno dan merosakkan pemikiran golongan muda. Dalam hal ini, siapa sebenarnya tukang fitnah – tidaklah pasti. Apa yang pasti, dosa memfitnah itu adalah sama dengan pembunuhan. Begitu dahsyatnya mainan akhbar tersebut.


Akhbar itu turut memainkan sentimen kaum yang berlawanan dengan prinsip keharmonian negara tatakala menulis komen sebuah pertubuhan jaringan Melayu yang boleh dianggap sebagai ‘kongsi gelap’ di bawah tajuk “Nik Aziz bertopeng imej warak.” Pemberitaan berbau permusuhan itu telah menyerang secara membabi buta hakikat kejayaan program Munajat Anak Muda Kelate kerana mengaitkan dengan himpunan jentera pilihan raya pemuda. Ia sudah menampakkan keresahan di sebalik ketrampilan generasi pelapis pendukung Kerajaan Negeri pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Justeru, akhbar tersebut turut memetik kenyataan dengki seorang bekas Naib Presiden Umno yang pernah disabitkan dengan amalan rasuah politik di bawah tajuk Perjuangan negara Islam, hukum hudud Pas semakin kabur – Isa.” Pemimpin Umno tersebut amat dengki dengan hubungan PAS bersama DAP, tatkala DAP semakin diterima oleh pengundi Cina berbanding MCA. Berdasarkan kenyataan pemimpin Umno yang pernah terpalit najis rasuah itu, akhbar tersebut menyimpulkan PAS sebagai sebuah parti yang keliru dengan matlamat perjuangan sendiri. Maka nampak sangat akhbar itu sudah memperalatkan pemimpin yang kotor menilai sebuah parti Islam berikutan kekecewaan terhadap MCA yang sudah memiliki seorang presiden yang jijik dan pernah mengaku terlibat dengan politik wanita simpanan.

Natijahnya, akhbar tersebut patut mengakui bahawa sebenarnya perjuangan Umno itu warisan penjajah yang memisahkan agama dengan urusan pentadbiran. Ia semacam perjuangan bangsa Eropah yang menolak peranan paderi dan gereja dalam urusan negara. Bila mana PAS memakai agama dan menolak fahaman penjajah, maka itulah sebabnya PAS diserang dan dihina di setiap penjuru negara.

Meskipun begitu, parti pelampau Melayu itu kecewa dengan sikap rakyat Kelantan kerana menerima PAS. Oleh kerana itu, orang Melayu dan seluruh umat Malaysia mesti menolak Umno sebagai wadah perjuangan nasional. Lantaran Umno ibarat sebuah bahtera yang sudah tidak selamat. Tiada lagi keredaan Allah SWT kerana di dalam bahtera itu dinaiki oleh bangsa yang menentang malah menolak perjuangan Islam, memakai perjuangan Melayu yang sekular. Semoga parti Islam PAS teruss melangkah maju dan Membangun Bersama Islam.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud