HULU LANGAT 23 MEI : “Saya tidak mahu cakap apa-apa... anak-anak saya baru sahaja pergi (meninggal dunia).”
Hanya itu yang mampu diucapkan Yang Dipertua Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Batu 14 di sini berhubung tragedi tanah runtuh yang mengejutkan seluruh negara, kelmarin.
Justeru kata Idris Musa, beliau memerlukan sedikit masa untuk bertenang sebelum memberikan sebarang kenyataan media.
“Tolonglah... tolonglah... berikan saya masa, saya masih tidak boleh nak cakap apa-apa lagi.
“Keadaan saya belum tenang lagi, saya perlu ambil sikit masa,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden yang menimpa rumah anak-anak yatim itu, menyebabkan kematian 16 orang manakala sembilan yang lain cedera.
Seramai tujuh mangsa yang terbunuh telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburun Islam Dusun Nanding di sini kira-kira pukul 3.20 petang semalam.
Mereka ialah Dzahir Haziq M. Muin, 17, Mohd Hazim Sapri, Mohd Azrel Azahari, 8, Wan Ahmad Hasril Hazim, 19, Mohd Mustakim Mamat, 12, Mohd Zaim Azahawi, 14, dan Mohd Imal Fahad, 9.
Sementara itu, seorang sukaralewan rumah anak-anak yatim tersebut, Roslan Osman, 69, berkata, ketika kejadian beliau tidak berada bersama kesemua mangsa kerana dalam perjalanan ke Muar atas urusan kerja.
Namun jelas Roslan, dalam perjalanannya beliau mengambil keputusan untuk patah balik kerana rasa tidak sedap hati.
“Ketika itu saya masih belum tahu kejadian itu sudah berlaku, tetapi dalam perjalanan balik saya dimaklumkan oleh kawan-kawan berlaku tanah runtuh di rumah itu.
“Saya berusaha mendapatkan bantuan kawan-kawan lain yang berada di kawasan berhampiran untuk menghulurkan bantuan,” katanya.
Beliau dimaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 2 petang sebelum tiba di kawasan itu pada pukul 5.30 petang.
Roslan juga berkata, ini adalah kejadian tanah runtuh pertama berlaku di kawasan itu dan menyifatkannya sebagai “sangat teruk.”
“Sebelum ini ada tanah-tanah jatuh bergolek ke kawasan ini tapi ia tidak apa-apa dan kami di sini buang semula tanah-tanah yang bertaburan.
“Tapi kali ini adalah kejadian yang sangat teruk, ia pertama kali berlaku di sini,” katanya yang sudah menjadi sukarelawan sejak 10 tahun lalu.
Beliau juga berkata, amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Saya amat terkejut, saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku di sini,” katanya.
Dalam kejadian itu, seramai 25 orang yang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim tertimbus.
Laporan kelmarin menyebut ada 49 orang di lokasi kejadian.
Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua 25 mangsa yang tertimbus.
Operasi yang bermula pukul 2.45 petang itu, berakhir kira-kira 5.30 pagi semalam.
Sementara itu, ibu saudara Haziq, Zaiton Abdullah yang tiba dari Terengganu menangis teresak-esak apabila tiba di tanah perkuburan sambil berkata, “saya tidak sempat untuk jumpa dengan (Haziq).”
“Dia (Haziq) anak yang baik, kakak tidak sempat untuk jumpa.
“Kakak dah anggap dia macam anak sendiri, kakak jaga dia sejak dia kecil lagi,” katanya sambil ditenangkan ahli keluarga lain.
Zaiton berkata dia dimaklumkan kejadian yang menimpa Haziq malam semalam dan bergegas ke Kajang awalnya.