Dua ADUN Umno Pulau Pinang berkata mereka tidak percaya laporan muka depan Utusan Malaysia Sabtu lalu bahawa DAP dan sekumpulan
pastor Kristian merancang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.
Sewaktu membentangkan usul melarang akhbar milik Umno itu membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang,
Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertanya kepada Datuk Hilmi Yahya (BN-Teluk Bahang) sama ada beliau percaya laporan itu.
Lim, yang membentangkan usul terhadap satu laporan Utusan pada 11 November tahun lalu berhubung kos pengubahsuaian kediaman
rasminya, mengecam akhbar harian Melayu itu kerana sering membangkitkan isu-isu sensitif untuk memecah-belahkan rakyat pelbagai kaum di negara itu.
Hilmi (kiri) sebelum itu mengakui Umno mungkin pemegang saham terbesar Utusan, tetapi ia tidak semestinya menerima semua yang
dilakukan oleh akhbar tersebut.
Katanya, seperti juga akhbar-akhbar lain, Utusan adalah sebuah entiti perniagaan dan cenderung untuk mensensasikan artikelnya untuk meningkatkan jumlah pembacanya.
Bagaimanapun, Hilmi meminta supaya menunggu hasil siasatan untuk mengetahui siapa yang memutarbelitkan berita tersebut.
Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) kemudiannya mendesak Hilmi mengakui bahawa laporan kontroversi itu bertujuan untuk
membangkitkan isu perkauman.
Beliau menggesa Hilmi, sebagai seorang pemimpin Umno, supaya memastikan akhbar tersebut tidak mengulangi kesilapan sedemikian kerana ia memudaratkan negara Malaysia yang pelbagai kaum dan agama.
Katanya, Hilmi berkata akhbar-akhbar lain juga mensesasikan isu tetapi "kita tidak nampak yang lainnya berbuat demikian, tetapi hanya Utusan".
"Jadi apakah tindakan yang akan diambil oleh Umno untuk memastikan ia tidak berulang?" tanya Jagdeep.
Lim kemudiannya meminta Hilmi menyatakan pandangan peribadinya sama ada beliau percaya laporan itu, yang berdasarkan kepada
maklumat tidak disahkan di dua blog pro-Umno.
"Sebagai rakyat Malaysia, bila saya mula-mula baca laporan itu, saya tidak percaya sama sekali," kata Hilmi.
"Kita telah hidup harmoni dengan semua kaum buat sekian lamanya... jadi biarkan kita tunggu siasatan dan kemudiannya kita boleh mengesahkan siapa yang melakukan ini. Saya percaya kita semua rasional," tambahnya.
Lim kemudian berkata "syabas!" dan terus bertanya kepada seorang lagi ADUN Umno sama ada beliau percaya laporan itu.
Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong, kanan) menjawab: "Saya
mahukan sebuah negara yang aman."
Bila terus didesak oleh Lim Farid meminta supaya menunggu hasil siasatan.
Bila diminta menjawab secara jujur, Farid berkata: "Saya tidak percaya laporan itu."
Hanya Hilmi dan Farid ADUN Umno yang berada dalam dewan ketika usul untuk melarang Utusan membuat liputan persidangan DUN dibentangkan. Usul itu kemudiannya diluluskan.
Lulus tiga usul
Sementara itu, Bernama melaporkan DUN Pulau Pinang hari ini ditangguhkan dengan meluluskan tiga usul termasuk usul mengharamkan wartawan akhbar Utusan Malaysia membuat liputan persidangan dewan itu berkuatkuasa, hari ini.
Lim berkata, usul itu dicadang ekoran akhbar itu didakwa sering menyiarkan berita berunsur fitnah terhadap kerajaan negeri.
Katanya, merujuk kepada satu laporan satu berita Utusan Malaysia bertarikh 11 November 2010, akhbar itu memetik kononnya seorang wakil rakyat Shahbudin Yahya (BN-Permatang Berangan) mendakwa kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM1.5juta untuk membaiki banglo yang didiami oleh Ketua Menteri iaitu Seri Teratai.
"Bagaimanapun Shahbudin menafikan bahawa beliau pernah mengeluarkan kenyataan itu ketika disoal dalam DUN dan ini menunjukkan Utusan Malaysia telah menyiarkan laporan palsu," katanya dalam sesi penggulungan persidangan DUN.
Beliau berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN turut melakukan siasatan dan memanggil ketua pengarang Utusan Malaysia untuk memberi keterangan tetapi beliau atau wakilnya tidak hadir.
Lim berkata, tambah membimbangkan ialah apabila akhbar itu mengeluarkan berita fitnah berunsur perkauman dan keagamaan kononnya terdapat perhimpunan paderi Kristian di negeri ini yang berikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan dan mahukan perdana menteri dari kalangan penganut agama itu.
Bagaimanapun, usul itu diluluskan dengan sokongan majoriti anggota DUN penyokong kerajaan negeri.
Dua lagi usul yang diluluskan ialah Rang Undang-Undang Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 dan usul mengesahkan pengenaan dan pemungutan fi caj air atau surcaj oleh pihak berkuasa negeri selama tempoh mulai 1 Januari 2001 hingga 31 Oktober 2010.
Persidangan DUN ditangguhkan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.-mkini