ARTIKEL SEBELUM

9/04/11

Video seks: Hishammuddin hantar Anwar surat tuntutan 48 jam


KUALA LUMPUR, 9 April — Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memulakan tindakan mahu menyaman Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan berkaitan dengan pendedahan rakaman video seks “Datuk T” — dengan menghantar surat tuntutan kelmarin.

Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden Umno itu mahu Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, menarik balik kenyataannya dalam 48 jam iaitu sebelum hujung minggu ini.

The Malaysian Insider difahamkan surat tuntutan itu dihantar ke rumah Anwar di Segambut kelmarin.

“Surat itu menyatakan bahawa Anwar diberikan masa 48 jam untuk menarik balik kenyataannya dan memenuhi tuntutan-tuntutan lain sebelum tindakan perundangan dimulakan,” kata seorang pegawai kanan PKR kepada The Malaysian Insider.

Pada 28 Mac lalu, Hishammuddin melantik peguam Tan Sri Cecil Abraham untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Anwar berhubung isu itu.

Akhir bulan lalu, Hishammuddin (gambar) berkata akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, jika terus mengaitkan beliau dan polis dalam video seks yang ditayangkan kepada wartawan di hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.

Beliau berkata, dakwaan Anwar bahawa polis dan beliau adalah dalang di sebalik penayangan video yang membabitkan seorang pemimpin utama pembangkang tersebut telah menjatuhkan maruah dan nama baik polis.

“Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab rasa berhak untuk menjaga maruah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jika dia (Anwar) terus mengaitkan ini (penayangan video) adalah satu konspirasi, saya akan pertimbang untuk menyaman dia.

“Perkara ini (saman) sedang dikaji peguam saya... ia bukan untuk saya semata-mata tetapi untuk pastikan integriti polis dilindungi. Isu sama ada ia konspirasi atau tidak bukan perkara utama tapi sama ada ia berlaku atau tidak kita akan siasat mengikut peruntukan yang ada,” katanya.

Pada hari pendedahan video itu, Anwar menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Hishammuddin dan polis terbabit dalam pendedahan rakaman video seks kononnya beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita tidak dikenali di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu.

Keesokan hari, Najib dan Hishammuddin kemudian menafikan penglibatan mereka dalam rakaman berkenaan manakala Anwar membuat laporan polis berhubung penyebaran video tersebut.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud