Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz dilihat mahu memperalatkan Suruhanjaya Diraja demi menyelamatkan "muka" Umno dalam isu ideo seks setelah fitnah rakaman itu semakin di tolak oleh rakyat, kata beberapa pemimpin politik hari ini.
Nazri hari ini berkata beliau akan meminta Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu pada Jumaat ini kerana mahu "membersihkan" nama kerajaan berikutan spekulasi awam bahawa Umno terbabit.
Kenyataan itu mengejutkan dan dilihat sebagai cubaan untuk menggunakan sebuah institusi Diraja bagi menyelamatkan Umno daripada isu berkenaan.
"Saya berpendirian perkara ini tidak boleh terhenti di situ sahaja kerana jika tidak dijawab oleh kerajaan dan tidak diadakan Suruhanjaya Diraja, kerajaan akan dituduh terlibat," Nazri dipetik sebagai berkata.
Umumnya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan atas keperluan mendesak menyiasat sesuatu tragedi atau institusi yang memberi impak kepada kepentingan nasional.
Contohnya, Suruhanajaya Diraja kini menyiasat prosedur siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setelah seorang pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati di perkarangan pejabat itu pada tahun 2009.
Semalam beberapa pemimpin Pakatan Rakyat membidas desas desus bahawa Barisan Nasional akan mengemukakan usul di Parlimen bagi penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat fitnah video lucah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar membuat laporan polis manakala Angkatan Muda Keadilan membuat laporan qazaf terhadap gandingan Datuk T yang mengaku mendalangi penayangan video fitnah itu dan cuba mengaitkannya kepada Anwar.
Datuk T merangkumi bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Shazryl Eskay dan Bendahari Perkasa, Shuib Lazim.
Kelmarin klip daripada rakaman asal video lucah itu dimuatkan ke Youtube dan di laman blog pro-Umno untuk mengaibkan Anwar.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, N.Surendran berkata Nazri cuba mengelak daripada persoalan utama iaitu kenapa gandingan Datuk T yang mempunyai hubung kait dengan Umno dilindungi setelah menayangkan video berkenaan di Hotel Carcosa 21 Mac lalu.
"Persoalannya kenapa kerajaan sehingga hari ini melindungi Trio Datuk T itu, saya nampak tujuan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya ini untuk mengalih tumpuan rakyat dari isu sebenar," tegas beliau.
"Cubaan menggunakan video seks fitnah untuk menjatuhkan Anwar terpalit kepada UMNO sendiri dan cadangan Nazri untuk Suruhanjaya Diraja ditubuhkan adalah untuk memperbaiki keadaan, itu sahaja" tambah beliau.
"Mereka takut sekarang kerana mereka tahu rakyat marah dan rakyat juga jijik melihat corak politik yang diamalkan mereka jadi mereka timbulkan pula hal seperti ini," kata Surendran.
Ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusuf berkata, yang dipersoalkan ialah ketelusan polis dalam menangani siasatan dan bukannya mengheret sebuah institusi diraja untuk menyiasat video lucah.
"Persoalan lucah ini tidak memerlukan suruhanjaya memandangkan suruhanjaya ini lebih sesuai untuk digunakan untuk menyiasat sesuatu kes yang melibatkan institusi seperti kematian Teoh Beng Hock yang dijumpai mati di bangunan SPRM," kata beliau.
Ahli Parlimen Sungei Petani Johari Abdul hairan kenapa Nazri tidak menjawab kegagalan polis untuk mengambil tindakan terhadap Datuk T walaupun jelas berlaku pencabulan undang-undang apabila video itu ditayangkan di Seri Carcosa.
“Kita sudah membuat laporan polis dan paling tidak ada empat perkara yang harus disiasat iaitu ugutan yang dibuat oleh Datuk T supaya Datuk Seri Anwar dan Wan Azizah untuk berundur. Yang kedua, berkaitan fitnah. Kita tidak mengatakan pita itu palsu atau tidak palsu. Tetapi perkara yang penting adalah siapa pelaku dalam klip itu," kata beliau.
“Sebab Itu kita rasakan perkara ini telah dipolitikkan oleh pihak tertentu khususnya Umno-BN untuk mengelak tangkapan dan siasatan dibuat dan meminta untuk RCI (Suruhanjaya Diraja) diadakan,
"RCI hanya memberikan cadangan dan kita tidak tahu apakah cadangan yang ingin diberikan. Persoalannya sekarang gunakan segala undang-undang yang ada. Dan saya rasakan ini satu kegagalan oleh pihak berkuasa," tambahnya.
Johari juga bertegas bahawa isu pokok adalah Umno menggunakan segala institusi kerajaan termasuk media untuk menabur fitnah terhadap Anwar.
“Kerajaan tidak boleh lari dari terlibat. Paling tidak, pertamanya Rahim Thamby Chik ialah pemimpin Umno. Kedua Shuib Lazim adalah orang Umno. Ketiga, Rahim menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Risda untuk buat tempahan di Seri Carcosa," tambah beliau.
"Kerajaan pula menggunakan GLC seperti Tv3 untuk menayangkannya dan Utusan untuk menyebarkan fitnah.
“Soalnya bukan isu membersihkan nama tetapi mereka menggunakan kesemuanya untuk menaburkan fitnah dan bukannnya mencari kebenaran," kata Johari.- tvs