ARTIKEL SEBELUM

3/04/11

Video Lucah : Pemuda PAS Tolak Kenyataan Ketua Polis Negara

Pengumuman Ketua Polis Negara bahawa video lucah yang ditayangkan di sebuah hotel terkemuka di Ibu Negara pada 21 Mac lalu adalah tulen, tidak bermakna kerana ia gagal menangani isu fitnah terhadap individu yang dikaitkan dengan rakaman itu.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, teknologi canggih memungkinkan pengarah menghasilkan apa sahaja bentuk filem dan lakonan yang dikehendaki.

"Sekalipun videonya disahkan tulen tetapi pelakunya [watak pelakonnya] masih terdedah kepada manipulasi dan kepalsuan. Justeru dunia moden hari ini, tidak hairan video sedemikian boleh dihasilkan tambahan pula dalam bentuk filem hitam putih.

"Saya masih ingat sebuah filem yang pernah saya saksikan di atas kapal terbang dalam perjalanan saya ke Mesir pada satu ketika dahulu, iaitu filem lakonan John Travolta dan Nicholas Cage yang berjudul Face Off. Saya tidak mengingati keseluruhan jalan cerita filem ini, tetapi apa yang saya masih ingat ialah bagaimana mereka menukar wajah antara dua watak [John Travolta menjadi Nicholas Cage dan Nicholas Cage pula berwajah John Travolta] sehingga isteri mereka sendiri tidak dapat membezakan antara keduanya," ulas beliau dalam satu kenyataan media.

Selain mendedahkan video berkenaan adalah tulen, Ismail semalam turut mendedahkan bahawa penyiasatan polis kini di peringkat akhir.

Walau bagaimanapun, individu penting dalam kes ini termasuk yang dituduh melakukan zina, langsung tidak dipanggil untuk memberi sebarang kenyataan.

Ismail juga mendedahkan tiga individu ditahan bersabit kes video seks ini, namun dibebaskan dengan jaminan polis.

Trio "Datuk T" yang membuat tayangan video lucah secara terbuka juga masih lepas bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan perundangan.

Menurut Nasrudin lagi, paling penting dalam konotasi agama, ia bukanlah tentang ketulenan video yang didedahkan "Datuk T", sebaliknya kaedah tuduhan yang tidak menepati syarak dan perlakukan menyebar serta mempertontonkan video lucah kepada umum jelas bertentangan dengan undang-undang dan hukum Qazaf.

"Sepatutnya pihak polis segera bertindak ke atas mereka yang memiliki dan menyebarkan video lucah tersebut. Bukan hanya berusaha meneliti ketulenan videonya
sahaja. Kalaupun benar video itu tulen, pelakon tidak semestinya sama dengan individu yang difitnah.

"Pastinya kita tidak boleh menuduh seseorang dalam keadaan tidak pasti, keliru dan sangsi,"katanya lagi.

Dalam konteks ini, agama Islam masih memerlukan empat orang saksi seperti yang disyariatkan dalam Islam untuk menuduh si pelaku melakukan perbuatan zina.

" Tulen atau tidak video itu bukan asas dan pokok dalam isu ini. Kerana jika ia disahkan tulen sekalipun, ia kekal sebagai bahan yang tidak menepati piawai
untuk membuat tuduhan zina malah ia turut terdedah kepada ruang manipulasi yang ketara,"kata Nasrudin.

" Datuk T yang kononnya dikatakan saksi hanya melibatkan 3 orang, ertinya belum mencukupi bilangan 4 orang saksi yang dikehendaki oleh Islam.

" Tambahan pula syarat saksi itu, selain dari mereka mestilah saksi yang adil [tidak pernah melakukan dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil], mereka juga mestilah menyaksikan perlakuan zina itu sebagaimana masuknya batang celak ke dalam botol celak," jelasnya lagi.

Malah tambah Nasrudin, tidak mustahil imej individu yang dirakam melakukan hubungan seks adalah individu lain yang wajahnya mirip Anwar.

Oleh yang demikian, Nasrudin hari ini mengingatkan umat Islam supaya menggunakan kaedah yang digariskan dalam Islam kerana agama adalah untuk memelihara maruah.

" Umat Islam sewajar menjadikan kaedah dan format Islam sebagai asas untuk menerima sesuatu tuduhan dan menerima prosuder tersebut,"katanya.- tvs

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud