ARTIKEL SEBELUM

13/04/11

Tubuh Suruhanjaya Di Raja, siasat kekayaan Taib

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak suruhanjaya Di Raja diwujudkan bagi menyiasat kekayaan luar biasa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya.

Jurucakap 42 gabungan NGo itu, Dr Kua Kia Soong dalam sidang media berkata, keadaan majoriti rakyat Sarawak yang masih miskin dan kekayaan melimpah ruah dimilik Taib menimbulkan 1001 persoalan dan harus disiasat di mana punca sebenar pendapatan Ketua Menteri paling lama di Malaysia itu.

“Penubuhan Suruhanjaya Di Raja perlu disegerakan untuk menyiasat aset Taib dan keluarganya yang dianggar berbilion ringgit termasuk yang di luar negara,” kata Kia Soong yang juga Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini.

Beliau turut mendedahkan syarikat Malaysia yang ada kaitan dengan keluarga Taib seperti Achi Jaya Holding Sdn Bhd, Borsarmulu Resort Sdn Bhd, Cahya Mata Sarawak Sdn Bhd, Naim Holding Berhad, Kumpulan Sanyen, Syarikat Aluminium Sarawak, Sarawak Energy Berhad, Kumpulan Ta Ann, Tatanium Management Sdn Bhd dan UBG Berhad.

“Di luar negara pula, keluarga Taib dikaitkan dengan tiga syarikat di Kanada iaitu Adelaide Ottawa Corporation, City Gate International Corporation, Glowell Development Corporation, di Australia Geneid Holding Pty Ltd dan Valentine on George Pty Ltd manakala di Britain, Ridgeford Properties selain di Hong Kong dan Amerika Syarikat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif KOMAS Tan Jo Hann yang turut hadir berkata, isu kekayaan luar biasa Taib dan keluarganya sudah lama dibangkitan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara tetapi tiada tindakan dari pihak berwajib sehingga kini.

“Begitu juga dengan isu pembalakan haram dan Empangan Bakun Sarawak yang kita bangkitkan sejak 1980-an sehingga kini tidak diketahui. Adakah sudah disiasat? Jika ada penyiasatan, apa status sebenar kes itu,” soalnya.

Bulan lalu, Transparency-International Malaysia (TI-M) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan rasuah yang melibatkan Taib.

Badan pemantau antirasuah itu menggesa SPRM bertindak segera terhadap tuduhan Taib, malah turut didedahkan media antarabangsa mengenainya.

“Sekarang sudah tiba masanya rakyat Sarawak menentukan sendiri masa depan mereka. Selamatkan bumi Sarawak yang kaya dengan kekayaan alam semulajadi ini kepada kepimpinan yang benar-benar komited memperjuangkan hak anda,” katanya merujuk kepada pilihan raya Sarawak yang sedang berlangsung sekarang.

Sementara itu, Jawatankuasa Komuniti Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, pilihan raya Sarawak perlu diadakan dengan telus dan bersih.

“Terjemahkan undi demokrasi anda pada pilihan raya kali ini walaupun kita akui kerajaan sekarang gagal melaksanakan sistem demokrasi yang sekadar dilaungkannya sahaja.

“Jangan hanya sebelah pihak mendapat kebebasan untuk bersuara tetapi pihak satu lagi tidak boleh,” katanya lagi.- keadilan daily

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud