ARTIKEL SEBELUM

15/04/11

Tentera nafi dakwaan Raja Petra, tiada ‘laporan risikan’ kes Altantuya


KUALA LUMPUR, 15 April — Kementerian Pertahanan hari ini menafikan pernah wujudnya “maklumat” berkaitan kes wanita Mongolia Altantuya Sharibuu — dirujuk sebagai laporan risikan, yang didakwa Raja Petra Raja Kamaruddin diperoleh daripada sumber-sumber boleh dipercayai, untuk digunakan dalam akuan bersumpah (SD) tiga tahun lalu.

Raja Petra mendakwa memperoleh daripada beberap sumber, termasuk yang dikaitkan dengan peranan Kolonel Azmi Zainal Abidin — orang nombor dua dalam unit risikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan tengah hari ini, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, “pihak ATM ingin menegaskan bahawa maklumat disampaikan oleh Kolonel Azmi kepada Raja Petra Kamarudin adalah palsu.”

“... dan tidak pernah wujud dalam simpanan ATM. Tindakan Kolonel Azmi adalah bersifat peribadi dan tiada sebarang kaitan dengan ATM,” kata beliau.

Azizan berkata, Leftenan Kolonel Azmi yang dimaksudkan Raja Petra adalah seorang pegawai Tentera Darat yang kini berpangkat kolonel dan telah melepaskan jawatan Timbalan Ketua Anggota Tentera Cawangan Khas sejak 14 Januari 2008.

Beliau kini sedang bertugas di Markas Tentera Darat, kata Azizan.

Azizan juga berkata siasatan terhadap dakwaan yang dilaporkan akan dilaksanakan dengan secepat mungkin dengan satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

“Hasil siasatan akan dijadikan asas terhadap tindakan yang akan diambil oleh ATM,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata Azizan, pegawai kanan terbabit telah dilepaskan daripada sebarang tugas rasmi sehingga siasatan selesai.

Dalam satu temu bual bersama TV3 kelmarin, Raja Petra mendakwa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau isterinya terbabit dalam kes pembunuhan wanita Altantuya.

Sebaliknya, pengendali portal Malaysia Today itu berkata, beliau didesak dan dipengaruhi untuk berbuat demikian oleh beberapa individu yang tidak mahu Najib mengambil alih jawatan perdana menteri.

Sehubungan itu kata Raja Petra, SD yang dibuat beliau pada 18 Jun 2008 hanya bersandarkan maklumat diperoleh daripada beberapa individu.

Menurut Raja Petra, seorang pegawai perisik angkatan tentera dikenali sebagai Leftenan Kolonel Azmi juga memberi maklumat yang sama.

“Saya tidak terima lagi cerita itu. Sebab saya rasa mungkin mustahil,” katanya.

Beliau berkata, kesemua individu ini berjanji akan menjadi saksi sekiranya beliau di dakwa di mahkamah.

Raja Petra turut menamakan blogger Din Merican. Yang lain ialah Nik Azmi Nik Daud dan John Pang, kedua-duanya pernah bekerja di pejabat veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam SDnya, Raja Petra berkata, beliau menerima maklumat daripada beberapa individu kononnya isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh.

“Dalam SD (akuan bersumpah) saya tadi saya telah bercerita bahawasanya orang ini telah beritahu dan biarlah orang ini yang datang dan bercerita.

“Dan, pihak berkuasa perlu siasat dan panggillah orang ini. Itu yang saya tulis dalam SD,” kata Raja Petra.

“Saya sendiri tidak timbulkan apa-apa tuduhan. Saya tidak kata saya tahu yang isteri timbalan perdana menteri semasa itu ada di tempat kejadian. Saya tidak cakap. “Saya tidak buat satu tuduhan seperti berikut. Yang saya kata ada orang yang bercerita tetapi bergantung kepada pihak berkuasalah untuk menyiasat perkara ini lebih lanjut lagi dan untuk orang-orang ini ke depan,” kata beliau.

Altantuya didapati dibunuh dan kemudian diletupkan menggunakan CD pada akhir 2006.

Dalam tulisan terbaru di portalnya semalam, Raja Petra berkata, selepas SDnya muncul beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dikenakan tuduhan hasutan dan fitnah.

“(Kemudian) saya bertanya Nik Azmi satu naskhah laporan (risikan itu).

“Bul (Nik Azmi) berkata dia tidak ada (laporan) itu lagi. Keseluruhan fail sudah dicincang, kata Bul. Sudah pasti mereka ada naskhah sokongan, kata saya,” tulis Raja Petra.

Raja Petra seterusnya menulis Nik Azmi kemudian memberitahu beliau bahawa “maaf, tiada salinan sokongan.”

“Laporan itu sudah tidak wujud lagi. Sebenarnya keseluruhan fail itu sudah tidak wujud lagi,” katanya lagi.

Raja Petra juga berkata, beliau memberitahu polis perkara ini kepada polis ketika masih ditahan di bawah ISA. -www.themalaysianinsider.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud