Seorang pengawal keselamatan menangis dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock hari ini sehingga menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan lebih sejam.
Prosiding itu yang bermula pada 9 pagi diberhentikan seketika bagi memberi peluang kepada Mohd Khairuddin Denan, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selangor untuk menenangkan diri sebelum menyambung semula keterangannya pada kira-kira 11 pagi.
Beliau beremosi sedemikian selepas ditanya pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang mempertikai jawapan Mohd Khairuddin berhubung rondaan yang tidak dibuatnya pada malam 16 Julai 2009.
Terdahulu, ketika disoal peguam Datuk Seri Muhammed Shafee Abdullah yang mewakili SPRM mengapa Mohd Khairuddin tidak membuat rondaan pada malam beliau bertugas, Mohd Khairuddin memaklumkan beliau hanya membuat rondaan mengikut gerak hatinya.
"Sumpah demi Allah SWT pada malam itu saya tidak membuat rondaan dan mungkin Allah tidak menggerakkan hati saya untuk berbuat demikian," katanya.
Hakim tak puas hati
Jawapan yang diberikan oleh Mohd Khairuddin telah menimbulkan ketidakpuasan hati kepada Foong lalu berkata: "Kalau Tuhan tak gerakkan hati awak untuk buat rondaan, awak tidak membuat rondaan lah...jadi tiap-tiap hari tak perlulah kamu datang kerja kalau Tuhan tak gerakkan hati kamu".
Mohd Khairuddin turut memaklumkan tugasnya sebagai pengawal keselamatan adalah untuk membuat rondaan di seluruh pejabat SPRM termasuk menjaga keselamatan pintu keluar masuk pejabat.
"Saya akan mencatat masa bertugas, membuat rondaan untuk memastikan lampu pejabat yang mana tidak ditutup dan kemudian kembali semula ke kaunter pengawal," kata Mohd Khairuddin ketika disoal Muhammed Shafee mengenai prosedur kerjanya.
Sementara itu, selepas prosiding ditangguhkan lebih sejam, Mohd Khairuddin kemudian disoal oleh Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Mohamed Hatta: "Bagaimana perasaan kamu sekarang?
Mohd Khairuddin: "Insya-Allah, saya rasa lega sedikit berbanding tadi".
Mohamed Hatta: "Sebagai pegawal keselamatan, apa peraturan yang difahami atau dipersetujui apabila ada operasi dilaksanakan oleh pegawai?
Mohd Khairuddin: "Bila ada operasi tugas saya hanya pengawal keselamatan".
Mohd Khairuddin menjelaskan beliau tidak bertanggungjawab terhadap mana-mana saksi atau suspek yang dibawa ke pejabat SPRM kerana pelawat itu di bawah tanggungjawab pegawai.
Tak berapa pandai
Ketika disoal Muhammed Shafee kenapa Mohd Khairuddin membuat nota bertaip itu, Mohd Khairuddin berkata:"Nak cerita secara lisan saya tidak berapa pandai, saya buat nota itu untuk ingatkan diri saya sendiri kerana ini kali pertama saya beri keterangan di mahkamah".
Mohd Khairuddin menafikan ada orang lain yang mengajarnya untuk membuat nota berkenaan kerana apa yang ditaip lahir dari mindanya sendiri.
Selain itu, Mohd Khairuddin memberitahu suruhanjaya bahawa diari yang dirampas oleh suruhanjaya pada Khamis lalu merupakan diari miliknya.
Beliau berkata diari Islam yang mengandungi ayat Al-Quran itu telah diambil dalam tong sampah seorang pegawai SPRM dan Mohd Khairuddin mengakui tulisan yang terdapat dalam diari itu merupakan tulisannya sendiri.
Ketika disoal peguam Choew Wee dari Majlis Peguam adakah menjadi kebiasaan bagi seorang pengawal keselamatan untuk mengambil barang yang terbuang, Mohd Khairuddin berkata:"Itu bukan menjadi kebiasaan kerana ia merupakan tugas tukang cuci.
Mohd Khairuddin menjelaskan tindakannya menyimpan diari berkenaan kerana diari itu mengandungi ayat Al-Quran dan daripada membuang diari itu, lebih baik beliau menyimpannya.
Tulisan cincai
Choew Wee kemudian turut mempertikai tindakan Mohd Khairuddin yang tidak dapat mengingati apa yang ditulis olehnya sendiri di dalam diari yang bertarikh 3 Feb 2003 di mana pada baris pertama hanya ditulis "bangun pagi...SPM".
Mohd Khairuddin berkata:"Tulisan ini cincai sahaja dan saya tidak boleh ingat apa yang saya tulis".
Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Selain Foong dan Mohamed Hatta, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.
Prosiding bersambung esok.
- Bernama