ARTIKEL SEBELUM

1/04/11

Bung gelar wakil Pakatan ‘syaitan besar’

Belum reda kontroversi mengenai kenyataan bahawa pemandu wanita adalah penyumbang kemalangan jalan raya, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) sekali lagi menimbulkan kekecohan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Kekecohan timbul apabila Bung menggelarkan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat sebagai 'syaitan' sewaktu sesi soal jawab lisan pagi tadi.

Gelaran itu pada awalnya ditujukan kepada M Kulasegaran (DAP-Ipoh Timur) yang bangun 'mengganggu' ketika beliau mengemukakan soalan tambahan mengenai kursus peningkatan kemahiran rakyat khusunya kepada golongan wanita kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Beliau bertanya sama ada kerajaan bercadang atau tidak untuk menyediakan kursus kemahiran seperti kursus memasak, membuat kuih dan kraftangan kepada rakyat di Sabah.

Ketika itu, Kulasegaran bangun dan bertanya adakah perlu diadakan kursus memandu kepada golongan wanita.

Bung menuduh Kulasegaran cuba memanipulasi kenyataannya berhubung pemandu wanita sebelum ini untuk memancing golongan itu agar mengundi Pakatan Rakyat.

"Mereka manipulasi kenyataan saya untuk tarik undi golongan wanita supaya sokong Pakatan Rakyat.

"Sudahlah, jangan tipu rakyat. Mereka faham apa yang saya cakap," katanya dengan suara yang agak tinggi.

Ketika itu kedengaran juga suara Datuk Mahfuz Omar (PAS -Pokok Sena) yang berkata bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga tidak bersetuju dengan kenyataan Bung itu.

Bung seterusnya berkata, ramai 'syaitan' yang mengganggunya namun 'syaitan-syaitan ini akan direjam'.

"Kalau pun ada bisikan syaitan di pagi ini, akan direjamlah mereka," katanya.

Kulasegaran bangun membantah perkara itu dan menganggap Bung mengeluarkan perkataan yang tidak baik dalam dewan.

"Apa ini Yang Dipertua...tiba-tiba cakap syaitan," katanya.

Namun Bung terus bertanya soalan dan setelah menghabiskan soalannya, Bung secara tiba-tiba memandang Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan menggelarnya 'syaitan besar'.

"Ini Shah Alam memang syaitan yang besar," katanya.

Khalid bangun dan meminta Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyuruh Bung menarik balik kata-katanya.

"Yang Dipertua, dia (Bung) panggil saya syaitan besar. Minta tarik balik. Ini dewan yang mulia, kena jaga kata-kata," katanya.

Bung terus mempertahankan diri dengan mendakwa mereka yang mula mengganggunya.

Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) pula bangun mempertahankan Bung dengan meganggap wakil Pakatan Rakyat yang tidak menghormati dewan.

Junaidi bagaimanapun menegaskan, dalam apa keadaan sekalipun, mana-mana wakil rakyat tidak boleh mengeluarkan kata-kata kesat.

"Saya faham itu Yang Berhormat. Tapi itu tidak membenarkan sesiapa pun menggunakan perkataan yang tidak betul dalam dewan. Perkara ini saya pertahankan. Kalau tidak semua orang boleh guna perkataan sesuka hati," tegasnya.

Mahfuz pula bangun dan menyokong pendirian Junaidi itu.

"Yang Dipertua, kalau cakap dia terganggu, kita pun selalu terganggu, tapi kita terbuka. Saya pun selalu diganggu. Tapi tak adalah sampai nak menggunakan perkataan yang bagi saya sangat buruk," katanya.

Mereka seterusnya mendesak Bung menarik balik perkataan 'syaitan' itu sehingga Bung terpaksa mengalah dan menarik balik perkataan itu.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud