Pemimpin kanan Pakatan Rakyat itu berkata demikian ekoran kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang mendedahkan rakaman video seks itu yang didakwa beliau sedang melakukan aksi seks dengan seorang pelacur warganegara China.
Kata Anwar (gambar), ia menunjukkan Perdana Menteri itu akan menggunakan “semua kuasa yang ada” untuk menjatuhkan beliau.
“Video seks ini sekarang menjadi strategi Najib untuk kekal berkuasa. Beliau terpaksa menggunakan pornografi dan mengawal semua media kerana beliau sudah tidak mampu berlawan,” kata Ketua Umum PKR itu selepas memberikan keterangan tambahan berhubung rakaman video seks itu.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga mengkritik pihak berkuasa kerana tidak mengambil sebarang tindakan selepas klip terbaru rakaman video seks itu tersebar di Youtube dan blog pro-Umno.
“Sejak bila dalam negara ini rakaman video seks boleh disebarkan tanpa sebarang tindakan diambil?” soal bekas timbalan perdana menteri itu.
Anwar berkata pendedahan yang dibuat “Datuk T” itu bermotifkan politik kerana turut menuntut beliau dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berundur dari arena politik.
Beliau juga berkata pendedahan rakaman video seks itu dibuat sebelum kempen pilihan raya negeri Sarawak bermula yang menyaksikan BN menang dengan majoriti dua pertiga.
Rakaman video seks 21 minit itu dipertontonkan kepada wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara bulan lalu oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya “Datuk T”.
Beberapa hari selepas itu, individu di sebalik nama “Datuk T” itu didedahkan yang melibatkan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Pada sidang media 24 Mac lalu, Rahim berkata rakaman video seks itu didedahkan untuk membuktikan “lelaki yang mahu menjadi perdana menteri itu tidak layak.”
Anwar juga menegaskan tidak akan menyahut cabaran Shazryl untuk melakukan sumpah laknat bagi membuktikan beliau bukan lelaki dalam rakaman video seks itu.
“Boleh anda tunjukkan ia hukum syarak yang mana? Tidak tahu? Jadi tidak perlu,” katanya kepada pemberita ketika mahu meninggalkan balai polis.
Anwar tiba di Balai Polis Dang Wangi pada pukul 2.50 petang dengan ditemani Dr Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah.
Semalam satu lagi rakaman klip video hitam putih aksi seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat telah dimuat naik dalam laman Internet.
Sedutan klip video dengan durasi satu minit 47 saat dengan tajuk “Papa Nurul Izzah Part II” itu menampilkan seorang lelaki dan wanita dalam keadaan bertuala dan kemudian berbogel sebelum lelaki itu memakai seluar.
Peguam Anwar, R. Sivarasa berkata Anwar hanya memberi keterangan yang releven dengan keterangan yang diberikan sebelum ini berhubung pendedahan bahan lucah.
“Melihat dari soalan yang ditanya, anda akan lihat ia seperti datang dari Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail,” kata Ahli Parlimen Subang itu.
Sebelum ini bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim berkata rakaman video seks pertama diedarkan yang dikaitkan dengan Anwar pada 1999.
Mat Zain meminta polis untuk menyiasat kemungkinan ada kaitan dengan rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” dengan pengedaran rakaman aksi seks pada November 1999.
Polis menyiasat “Datuk T” di bawah Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Abdul Khalid Abu Bakar berkata pihaknya masih menjalankan siasatan dan yakin akan menyerahkan hasil siasatan kepada pejabat Peguam Negara minggu ini.
Beliau juga berkata akan “mendedahkan” identiti pelaku pada masa yang sesuai.