TANJUNG KARANG: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas mengulangi kenyataannya bahawa beliau bukan lelaki dalam video fitnah yang didalangi trio Dato T, yang kemudian disebarkan di internet baru-baru ini.
Berucap pada majlis pelancaran Buku Jingga di Tanjung Karang malam tadi, Anwar menepis tuduhan jahat berkenaan sebagai satu lagi konspirasi politik untuk menjatuh dan mengaibkannya.
“Saya tahu apa saya lakukan dan saya juga tahu apa yang saya (sama sekali) tidak lakukan,” kata Anwar di hadapan kira-kira 1000 yang hadir untuk mendengar penjelasan beliau.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan bahawa isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Ismail lebih mengenali beliau secara peribadi dan sebagai seorang suami.
Anwar sekaligus membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz bahawa isterinya tidak layak menafikan beliau terlibat dalam video fitnah berkenaan.
“Wan Azizah cakap dia tahu (itu bukan saya). Nazri pula mempersoal ‘Mana dia tahu?’
“Mestilah dia (Wan Azizah) tahu. (Saya ini) suami dia. Dia bukan tidur atas bantal. Dia tidur atas dada saya. Mestilah dia tahu (bukan saya dalam video itu), ” kata Anwar secara berseloroh sambil disambut ketawa orang ramai.
Anwar juga sempat menempelak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang cuba memberi komen terhadap video tersebut sedangkan dirinya sendiri terpalit dengan begitu banyak skandal, termasuk pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu.
“Saya nak tanya pada Najib, bunuh orang itu bukan dosa besar? Qazaf itu bukan dosa besar? Tuduh orang tanpa empat orang saksi itu bukan dosa besar?” tanya Anwar.
Mengulas mengenai kes kematian terbaru dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anwar secara sinis berkata tidak mustahil beliau juga akan dituduh terlibat.
“Ini pegawai kastam jatuh, Anwar (juga dituduh) terlibat.(Mereka akan kata) mesti ada DNA Anwar dekat tempat kejadian.
“Teh yang saya minum malam ini, nanti (tidak mustahil) mereka ambil dan letak DNA saya pada tempat kejadian,” kata Anwar disambut gelak tawa hadirin. -
keadilan daily