ARTIKEL SEBELUM

22/04/11

49 remaja hamil sejak September di Sekolah bantuan penuh !!!


JASIN, – Sejak dibuka pada September lalu, Sekolah Harapan telah memberi penempatan kepada 49 remaja hamil, kata Pengarahnya Datuk Ab Rahaman Ab Karim.

Dipetik Bernama Online, beliau berkata buat masa ini terdapat 35 remaja di rumah tersebut dengan sebahagiannya telah melahirkan anak, sementara yang lain sedang menunggu masa untuk bersalin.

“Sejak sekolah ini dibuka, seramai 28 bayi telah dilahirkan dan kesemua bayi tersebut diambil oleh keluarga kepada ibu bayi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian sekolah itu oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.

Ab Rahaman berkata remaja terbabit yang berusia antara 14 dan 18 tahun, datang dari Johor (14 orang), Melaka (lapan), Pahang (lapan), Negeri Sembilan (lima), Kelantan (lima), Terengganu (tiga), Kuala Lumpur (dua), dan masing-masing seorang dari Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata remaja terbabit ditempatkan di sekolah itu sehingga habis tempoh berpantang sebelum kembali kepada keluarga masing-masing.

Ab Rahaman berkata pihaknya juga berusaha dengan kerjasama keluarga masing-masing untuk menikahkan remaja terbabit dengan pasangan masing-masing dan setakat ini dua daripada 49 remaja itu sudah berkahwin.

“Pada tahun lepas, seramai lima orang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan dua daripadanya mendapat keputusan 3A dan seorang memperoleh 2A,” katanya menambah seramai 14 orang akan menduduki peperiksaan SPM dan dua Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Beliau berkata kesemua remaja terbabit dijaga dengan baik termasuk pemantauan daripada Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Suka saya maklumkan di sini, bahawa remaja di sini dijaga dengan baik dari segi kesihatan, makan minum dan rehat yang mencukupi, kita bawa balik mereka ke pangkuan agama, kita beri kaunseling, ajar mereka bersembahyang, membaca al-Quran, kita beri kemahiran sebagai seorang ibu untuk mereka menjaga bayi nanti dan kemahiran sebagai seorang isteri,” katanya.

Katanya pada tahun ini kos mengurus dan pembangunan dijangka sekitar RM1.1 juta berbanding RM547,171 pada tahun lepas.

Beliau juga berkata sekalipun kapasiti 35 orang sudah dicapai, pihaknya menimbang kemungkinan meningkatkannya kepada 50 orang memandangkan terdapat 15 lagi remaja hamil memohon untuk masuk ke sekolah itu.-

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud