KUALA LUMPUR, 24 Mac: Pejabat Presiden PAS sehingga kini masih menunggu apa reaksi akhbar milik MCA, The Star ekoran laporan palsu yang dibuat oleh akhbar berkenaan mengenai judi.
"Kita masih menunggu reaksi The Star setelah akhbar Cina Nanyang Siang Pau memohon maaf dan menarik balik laporan salahnya," kata Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Politik Presiden PAS.
Akhbar The Star hari ini hanya menyiarkan berita bahawa akhbar Nanyang telah menarik balik laporan yang tidak benar tersebut namun akhbar itu sendiri tidak memberikan sebarang reaksi terhadap tuntutan Pejabat Presiden PAS sebelum ini.
Ahmad Samsuri sebelum ini dalam kenyataannya mendesak akhbar The Star dan Nanyang menarik balik laporan palsunya berkaitan dengan ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Besut, Terengganu. (GAMBAR: Laporan akhbar The Star yang melaporkan Abdul Hadi berkata demikian dalam ceramahnya)
Menurut The Star, Nanyang Siang Pau telah memohon maaf kepada Presiden PAS kerana tersalah petik kenyataan beliau apabila berkata Pakatan Rakyat akan menutup semua aktiviti judi jika berjaya mengambil alih Putrajaya.
Dalam permohonan maafnya, Nanyang berkata laporannya Isnin lepas tersilap kerana salah terjemahan.
"Apa yang Hadi kata pada hari itu adalah Pakatan akan mansuhkan saman ekor jika mereka mengambilalih Kerajaan Persekutuan.
"Kami memohon maaf atas kekeliruan dan kesilapan ini," kata akhbar Nanyang sebagaimana yang dilaporkan The Star hari ini.
Dr Ahmad Samsuri sebelum ini dalam kenyataannya berkata, PAS membantah terhadap berita bertajuk DAP clashes with PAS over gambling ban, again yang dimuatkan dalam portal berita Malaysiakini, 21 Mac 2011 dan The Star, 22 Mac 2011 dengan tajuk Hadi: Pakatan will ban all gambling in Islamic state.
Artikel berita yang yang dimuatkan dalam portal berita Malaysiakini dengan tajuk di atas, di perenggan enam dan tujuh adalah dirujuk, iaitu: According to reports by Chinese dailies Nanyang Siang Pau and China Press, Hadi allegedly announced during a rally in Jerteh last Saturday that PAS would implement Islamic policies should the party come to power, including a nationwide ban on gambling. He was quoted as saying that the other Pakatan parties had reached a consensus with PAS over the matter.
Manakala Portal The Star pada 22 Mac 2011 juga melaporkan berita dengan tajuknya: Hadi: Pakatan will ban all gambling in Islamic state.
“Adalah dengan ini ingin dipertegaskan bahawa Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak pernah menyebut sama sekali perkara yang dinyatakan sebagaimana di atas dalam ceramah beliau di Jerteh pada Sabtu lepas atau bila-bila masa di mana-mana tempat,” kata Dr Ahmad Samsuri dalam kenyataan itu.
Ujarnya, persoalan bahawa PAS bercanggahan dengan DAP dalam isu berkenaan adalah tidak berbangkit sama sekali.
Rakaman ucapan Presiden PAS itu boleh dirujuk di web www.terengganukini.net.
“Kami amat kesal dengan pemberitaan yang salah ini dan meminta kepada pihak yang melaporkannya untuk memohon maaf secara terbuka dan seterusnya menarik balik berita berkenaan dengan membuat pembetulan terhadap kesilapan yang sangat besar itu,” tegasnya. Malaysiakini dalam laporannya memetik laporan akhbar Cina Nanyang sebagai sumbernya namun akhbar The Star telah menjadikan ucapan Abdul Hadi di Jertih, Besut Terengganu sebagai sumbernya yang jelas tidak wujud. |