Beliau menyifatkan Malaysia tidak ubah seperti Mesir yang ditadbir diktator Hosni Mubarak melalui tindakan menyekat kebebasan bermaklumat, termasuk antaranya ialah dengan tidak mengeluarkan permit kepada akhbar-akhbar seperti Suara Keadilan.
“Revolusi Tunisia. Mesir dan Timur Tengah tercetus akibat daripada isu sosial seperti pengangguran yang tinggi, inflasi, rasuah, kongkongan terhadap media serta kemiskinan yang teruk.
“Apa yang berlaku di Malaysia ini tidak jauh bezanya dengan apa yang terjadi di Timur Tengah,” kata Tian pada ucapan perbahasan menjunjung titah Diraja, di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, beliau mengingatkan kepada kerajaan Barisan Nasional untuk tidak memperbodohkan rakyat Malaysia termasuk melalui percubaan menambah pengundi pos di kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat.
Dalam pada itu, Tian menuntut kerajaan untuk melaksanakan Akta Gaji Minima segera, dengan implementasinya merangkumi pekerja tempatan dan juga pekerja asing.
“Sekiranya gaji minima hanya diberikan kepada pekerja tempatan, bermakna pekerja asing tiada gaji minima.
“Ini akan menyebabkan para majikan hanya mengambil orang asing sebagai pekerja kerana kos buruh yang rendah kerana mereka tidak diliputi di bawah Akta Gaji Minima.
“Justeru, Akta yang dicadangkan tidak harus membezakan hak pekerja di negara ini. Mereka akan terbela di bawah satu undang-undang yang adil mengikut prinsip pasaran.
“Namun ia hanya menjadi janji kosong oleh Barisan Nasional, sekiranya kerajaan tidak menyediakan ‘blue print’ bagi persediaan pelaksanaan Akta Gaji Minima yang diuar-uarkan sebelum ini,” kata Tian.