KUALA LUMPUR : 26 MAC : Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata rakyat perlu menolak semua pemimpin politik yang “suka menyelak kain” orang lain dengan sanggup “menghalalkan apa sahaja” demi kepentingan politik mereka.
“Marilah kita bermufaraqah atau meninggalkan segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka.
“Tanpa mengira parti, mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang,” kata beliau dalam tulisannya merujuk kepada perkembangan semasa skandal pendedahan rakaman video seks awal minggu ini.
Tokoh agama yang menjadi tumpuan Umno dan PAS sebelum ini berkata, tidak kira kerajaan atau pembangkang rakyat telah dijadikan “penonton bodoh” yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.
Sehubungan itu katanya, politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan daripada golongan yang jijik dan kotok.
“Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini,” kata Mohd Asri.
Tiga individu - bekas Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik, Bendahari Perkasa Shuaib Lazim dan ahli perniagaan Sharzyl Eskay mengaku mendalangi penayangan video lucah itu untuk memaksa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri untuk berundur dari politik.
Anwar menegaskan beliau bukan orang dalam video fitnah itu dan berada di rumah ketika rakaman itu dibuat pada 21 Febuari lalu dan menyifatkan video itu fitnah terbaru umno untuk menghancurkan beliau sekeluarga dan Pakatan Rakyat.
Asri berkata rakyat harus menolak penggunaan seks dan skandal untuk mencari kelebihan politik oleh golongan yang selekeh.
“Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Ia haram.
“Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini,” katanya. - malaysian insider