ARTIKEL SEBELUM

10/03/11

Amaran keras dari Merlimau, Kerdau

Ahmad Lutfi Othman

Kekalahan "teruk" PAS di Kerdau dan Merlimau -- dengan majoriti BN yang lebih besar -- mengundang banyak kritikan. Saya kira, adalah baik sekiranya pemimpin PAS dapat meneliti setiap teguran yang dikemukakan bagi melakukan proses penambahbaikan. Tentunya dalam PAS sindrom penafian belum menjadi wabak sehingga segala pandangan berbeda diketepikan begitu sahaja. Bukankah siri pilihan raya kecil selepas tsunami politik Mac 2008, sama ada mencatatkan kemenangan atau kekalahan, dapat menghimpunkan iktibar sekali gus mendorong pembaharuan dilakukan sebelum Parlimen dibubarkan nanti?

PRU13 dijangka merupakan "medan pertempuran" paling sengit bakal disaksikan sepanjang sejarah pilihan raya di negara kita. Buat pertama kali rakyat Malaysia benar-benar ada pilihan dan berpeluang untuk menukar kerajaan persekutuan. Justeru, semua parti politik begitu serius mengatur persiapan rapi daripada semua segi, selain bersedia mengambil manfaat daripada apa jua insiden, khususnya kelemahan yang tertonjol dalam pilihan raya kecil, bagi memastikan target tidak tersasar.

Umumnya, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional kini masih dalam keadaan bertahan. Daripada 16 kali pilihan raya kecil, kedudukannya seri 8-8. Namun, yang lebih menarik perhatian umum adalah kawasan-kawasan yang menyaksikan peralihan kerusi. PAS dapat merebut satu kerusi Umno, Parlimen Kuala Terengganu tetapi hilang Dun Galas, manakala DAP mencipta sejarah di Sibu dan MIC berjaya merebut Hulu Selangor. Di Semenanjung, selepas BN meningkatkan undi di Bagan Pinang, parti yang menerima tamparan hebat pada Mac 2008 itu terus melonjak. Selain berjaya merampas kerusi KeADILan di Hulu Selangor, Umno menguasai semula Galas dan meningkatkan majoriti kemenangan di Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Bagi PAS, kekalahan dengan kemerosotan undi di Melaka dan Pahang (sebelum itu Johor) perlu dibedah-siasat secara menyeluruh. Segala kealpaan atau kepincangan harus diakui bagi dirumuskan jalan keluar yang tepat dan berkesan. Reformasi masih sempat dilakukan jika didapati ia memerlukan berbuat demikian. (Sehebat mana pun sesebuah parti, ia masih terbuka kepada pembaharuan). Tiada hinanya mengaku kesilapan dan bersedia membuat pembaharuan daripada hanya berkeras menyalahkan pihak musuh.

Mungkin ia bukan lagi melibatkan perubahan dalam soal-soal taktikal dan penyelarasan jentera pilihan raya, tetapi juga membabitkan hal-hal lebih besar seperti penekanan, keutamaan dan pendekatan parti. Sebarang persepsi negatif tidak boleh dibiarkan biarpun ia mungkin nampak tidak berasas. Dan yang perlu dirombak atau diperbetulkan bukan sekadar berkaitan sesebuah parti yang bertanding, misalnya PAS dalam kes Kerdau dan Merlimau, tetapi juga parti-parti sekutu, seperti KeADILan dan DAP.

Bagi Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Sufian, kejayaan Umno-BN di Merlimau dan Kerdau, dengan majoriti lebih besar memberikan signal jelas kepada Pakatan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk mengembalikan sokongan rakyat. Isu-isu yang memberi kelebihan kepada Pakatan dalam PRU12 mungkin tidak lagi memberi kesan kepada pengundi. Tambahnya, trend nasional menunjukkan pengundi Melayu masih memihak BN. Beliau turut menegur pendekatan PAS menangani beberapa isu lokal, termasuk berkaitan Felda. "Misalnya, bagaimana hendak mengatasi perasaan terima kasih kepada kerajaan yang masih sangat tebal?" ujarnya.

Dahulu, ketiga-tiga negeri di selatan yang menjadi gelanggang siri pilihan raya kecil terkini itu bukan dikira wilayah tradisi PAS (walaupun prestasi PAS di Pahang pada 1999 boleh dianggap membanggakan juga). Bagaimanapun selepas 2008, apabila Putrajaya dilihat turut terbuka untuk dikuasai Pakatan, maka setiap kerusi tidak boleh diremehkan. Di pihak Pakatan, sasaran bukan lagi menjadi pembangkang yang kuat di peringkat Dun, tetapi adalah mengambil alih teraju pemerintahan negeri-negeri berkenaan.

Tidak pelik apabila pemimpin BN sering mengingatkan agar setiap penggerak kempennya agar tidak memandang rendah kemampuan calon Pakatan meskipun melibatkan kerusi yang dahulunya tidak tergambar dapat dimenangi pihak lawan. Segala kekuatan dan sumber (tentunya daripada kerajaan) dikerah semaksimum mungkin. Sepanjang kempen, media, khususnya akhbar harian dan siaran berita TV, diperalatkan dengan begitu dahsyat. Lihatlah cara agresif Ali Rustam dan Adnan Yaakob berkempen. Mungkin komitmen mereka menemui pengundi jauh lebih besar berbanding sikap sebahagian pemimpin Pakatan sendiri.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Abu Hassan Hasbullah mendedahkan, kekalahan berturut-turut PAS itu juga menunjukkan wujudnya kelemahan dari aspek strategi, taktikal dan operasi politik apabila kepentingan-kepentingan demografi, geografi dan antropologi politik tidak diterjemahkan dengan sempurna sebaliknya kebergantungan terhadap kepercayaan dan amalan politik lama.

"PAS belum mampu memperbaiki imej dan strategi dengan mengukuhkan bentuk dan kandungan pembawaan politik yang lebih moden, lebih dinamik, lebih pragmatik tanpa bergantung secara total pada nilai-nilai ulama, sebaliknya mesti menjadi sebuah sistem dan organisasi yang memiliki kekuatan kedua-duanya iaitu ulamak dan profesional," tegasnya.

Seterusnya beliau menggesa PAS agar mempunyai strategi komunikasi dan rencana ekonomi, politik dan sosial yang benar-benar bersepadu dan terancang dalam membina kepercayaan, terutama di kalangan orang Melayu. "Kepercayaan ini tidak hanya boleh dibina dengan nilai-nilai perlawanan setiap masa, ada kala nilai-nilai progresif iaitu konstruktif perlu dibentuk juga. PAS perlu melihat sikap baru yakni menerima intelektualisme, profesionalisme, progresvisme sebagai bentuk dan kandungan politik maka barulah masyarakat akan lebih menerima dan yakin," tambah Dr Abu Hassan.

Kerdau dan Merlimau membabitkan dua Dun di kawasan majoriti Melayu ketika slogan "PAS Ganti Umno" mula dipopularkan. PAS pula pada akhir Februari lalu menggariskan 12 jaminan yang ditawarkan kepada orang Melayu. Di Tenang, PAS turut dilihat gagal menarik sokongan pengundi Melayu. Malah sebelumnya juga di kerusi majoriti Melayu, di Manek Urai, Kelantan, walaupun PAS bertahan tetapi majoritinya jauh merosot, daripada 1,352 undi kepada hanya 65.

Ramai pemerhati menjangkakan pengundi Cina masih meyakini Pakatan dalam PRU13 nanti. Mereka bimbang masyarakat India akan kembali kepada BN. Lebih kritikal adalah sikap pengundi Melayu. Jika mereka bertahan seperti tahun 2008, BN tetap mengekalkan kuasa, tetapi andai kata benar pengundi Melayu (apatah lagi jika membabitkan orang muda dan kelas menengah) mulai mempercayai Umno, Pakatan berada pada kedudukan berbahaya.

Apakah sebilangan besar pengundi Melayu masih sangsi dengan keupayaan, kemampuan dan keikhlasan PAS untuk membela dan mempertahankan hak Melayu, seperti sering ditohmahkan? Berkesankah propaganda media yang membayangkan PAS hanya alat kepada DAP dan mudah bertolak-ansur sehingga meleburkan prinsip perjuangan? Ataupun, pimpinan PAS dianggap tidak berketrampilan untuk sama-sama menerajui Pakatan bagi membentuk kerajaan persekutuan nanti?

Bagi sesetengah pemerhati politik, PAS yang mendapat manfaat besar daripada peralihan undi orang Melayu pada 1999 kini seolah-olah berada di persimpangan. Apakah ia terpaksa menukar strategi untuk menawan hati pengundi Melayu? "PAS tidak boleh dilihat panik mengubahsuai pendekatan politiknya, dibimbangi pengundi bukan Melayu curiga dengannya, tetapi orang Melayu pula, terutama di luar bandar, masih ragu-ragu memberi sokongan," kata seorang pensyarah IPTA. "Mesej pilihan raya kecil memang penting tetapi ia harus ditafsirkan seadanya sahaja," tambahnya.

Dalam pada itu, ada pemimpin PAS sendiri yang membuat teguran sinis: "Tak ramai wakil rakyat kita yang turun berkempen, apatah lagi untuk berkampung di sana, seperti dilakukan pemimpin tertinggi BN dan para menterinya. Ramai pemimpin PAS yang berkempen 'Touch-N-Go' saja, sekadar berceramah, tidak menyapa dan menyantuni rakyat secara dekat dan rapat, malah ada yang tak turun langsung. Hinggakan saya sendiri malu untuk bermunajat dengan Tuhan meminta pertolongan. Apakah kita sudah bekerja bersungguh-sungguh atau hanya mengharapkan Tuhan bekerja untuk kita?"

Blogger Nobisha, dalam analisisnya terhadap keputusan di Merlimau dan Kerdau menekankan: "Sejak mara bergaya dalam pilihan raya umum pada Mac 2008, parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah melakukan banyak kesilapan. Malangnya, apabila ada pihak yang menegur, maka mereka dilabel sebagai pecacai Uumno atau BN. Akhirnya, ramai juga yang mengatakan, biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya. Nak kritik tak boleh, nak tegur pun tak boleh. Semua orang yang menegur Pakatan Rakyat dianggap "jahat" dan mempunyai motif tersembunyi. Mungkin atas sebab itu jugalah, sesetengah bloggers pro-Pakatan Rakyat mendiamkan diri sewaktu PRK Merlimau dan Kerdau."

Beliau turut memuji sikap Pengerusi BN, Najib Razak, yang dilihat lebih reseptif kepada kritikan. Nobisha yang sering diundang dalam Analisis Awani, terutama pada malam keputusan pilihan raya kecil diumumkan, menulis: "Saya fikir "transformasi politik" yang disebutkan Najib adalah merupakan respon beliau kepada kritikan rakyat yang ingin melihat BN berubah. Kesediaan Najib untuk berubah adalah merupakan satu sikap yang cukup merendah diri. Bukan mudah untuk melihat pemimpin politik berkata, "saya sanggup berubah"."

Mungkin pandangan-pandangan yang dilemparkan itu tidak menggambarkan realiti sebenar, namun banyak manfaatnya jika kritikan berkenaan boleh diolah untuk kebaikan parti.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud