MERLIMAU: Hari Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menyaksikan Wanita Umno Jasin langsung tidak memberi sokongan kepada calon parti mereka lantaran kecewa golongan wanita diketepi dari menjadi calon.
Bercakap kepada KeadilanDaily.com, Ketua Wanita KEADILAN Melaka, Mahani Misban, berkata Wanita Umno Bahagian Jasin turut menutup bilik gerakan mereka di Taman Merlimau Jaya.
“Sejak pagi tadi, saya tidak nampak kelibat Ketua Wanita Umno, Zaleha Bujang dan Wanita Jasin mahupun Wanita Merlimau memberi sokongan kepada calon mereka.
“Mereka boikot calon sendiri kerana kecewa golongan wanita tidak dipilih setiap kali pilihan raya kecil. Ini tidak berlaku dalam Pakatan Rakyat. Wanita turut diangkat seperti calon, contohnya Normala Sudirman,” katanya.
Zaleha sebelum ini menyatakan kepada beberapa media, mengatakan rasa tersinggung kerana Umno memilih Roslan Ahmad sebagai calon sekaligus dianggap mengetepi sumbangan dan peranan wanita.
Beliau dilapor berkata, keputusan itu menunjukkan suara Wanita Umno tidak didengari pimpinan Umno berbanding dengan Pakatan Rakyat yang mengangkat Normala Surdiman sebagai calon di DUN Tenang.
Mengulas lanjut, Mahani menyifatkan tindakan Wanita Umno itu menunjukkan sikap majoriti pimpinan Umno yang gila kuasa dan berebut mahu menjadi calon.
“Itu semua sikap Umno yang mahukan kuasa. Kita pun turut menyenarai cadangan wanita sebagai calon, namun akur dan patuh dengan keputusan parti. Siapapun calon pilihan parti, Wanita PR akan beri sokongan padu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Wanita KEADILAN Melaka akan turut serta dalam kempen bermula seawal pagi esok bagi meraih sokongan rakyat demi mencapai kemenangan.
“Esok pagi kita akan mula bergerak dari satu kampung ke kampung untuk bertemu dengan rakyat dan mendekati mereka bersama-sama calon PAS, Yuhaizad Abdullah,” katanya.