ARTIKEL SEBELUM

24/02/11

MB: Pakatan belum bincang rombak exco S'gor

Menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, rombakan ke atas barisan exco kerajaan negeri tidak dibincangkan dalam majlis mesyuarat berkenaan hari ini.

Katanya lagi, isu itu juga belum dibincangkan di antara anggota Pakatan Rakyat yang membentuk kerajaan negeri itu.

Khalid berkata demikian ketika ditanya dalam satu sidang media selepas mesyuarat majlis exco kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.

Isu berhubung rombakan majlis exco itu timbul ekoran kenyataan ADUN Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali sebelum ini berhubung keperluan membuat rombakan itu.

Azmin dilaporkan berkata, terdapat ruang yang perlu diperbaiki dalam kepemimpinan sedia ada berdasarkan laporan dan penilaian prestasi yang diperolehi di peringkat akar umbi parti dan rakyat Selangor.

Mengulas kenyataan itu, Khalid berkata pihaknya sentiasa menilai prestasi kerja dan sentiasa terbuka menerima komen daripada wakil rakyat negeri itu.

"Oleh sebab itu, untuk sambutan ulang tahun ketiga kerajaan Selangor tahun ini tiap-tiap exco akan keluarkan hasil daripada tugas mereka dan kita akan buat penilaian tentang usaha kita samada berkesan atau tidak," katanya.

Ditanya lanjut, Khalid juga mengakui bahawa jawatan pengerusi kerajaan tempatan, kajian dan penyelidikan juga masih dipegang oleh ADUN Pandamaran Ronnie Liu.

“...Tidak (ada) apa-apa yang kita ubah sehingga hari ini... Kita tidak ada perbincangan mengenai perkara ini,” katanya lagi.

Desas-desus berhubung pengguguran ADUN berkenaan timbul ekoran beberapa kontroversi yang melanda wakil rakyat DAP itu sejak tahun lalu.

Isu berkenaan termasuk larangan penggunaan logo 1Malaysia dan juga kontroversi berhubung penjualan arak di negeri itu.

posting terkini dari batuvskayu

Bukti BN tolak Hudud