Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Tambun Gediu, 60-an, bergelut dengan harimau sebelum isterinya, Han Besau, menyedari kejadian itu dan bertindak memukul kepala harimau berkenaan dengan sebatang senduk kayu bagi menyelamatkan suaminya.
Dipetik Berita Hatian, Tambun berkata, dia tidak menyedari kehadiran haiwan pemangsa itu kerana terlalu asyik memerhatikan binatang buruan iaitu tupai yang berada di atas pokok berhampiran rumahnya.
Katanya, dia hanya sedar kehadiran haiwan itu sewaktu memandang ke belakang apabila melihat harimau berkenaan berada tidak jauh dengannya.
“Saya terkejut dan segera melarikan diri dengan cuba memanjat sebatang pokok berhampiran tetapi gagal apabila harimau itu lebih pantas mencakar kaki, sekali gus menarik saya ke bawah sebelum jatuh tersembam ke atas tanah.
“Harimau itu kemudian cuba membaham kepala dan leher saya, namun saya cuba melawan dengan menumbuknya beberapa kali di kepala, manakala tangan sebelah lagi mencengkam bibir harimau berkenaan sambil menjerit meminta tolong,” katanya.
“Saya bernasib apabila isteri bergegas datang setelah mendengar jeritan dan memukul haiwan itu dengan senduk kayu, sekali gus berjaya menghalau haiwan itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Pemangku Ketua Polis Grik, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Grik kira-kira pukul 8 malam kelmarin sebelum dihantar ke hospital itu semalam.
Katanya, ketika kejadian, mangsa yang pergi menyumpit tupai di hutan Sungai Tiang diterkam seekor harimau dari belakang.
“Mangsa digigit di belakang tengkuk dan beberapa gigi haiwan itu dikesan menembusi bahagian bawah tengkuk mangsa serta parah di muka dan kepala,” katanya.
Difahamkan, mangsa lewat dibawa ke Hospital Grik kerana kesukaran perjalanan berikutan kedudukan kampung berkenaan yang terpencil di hutan berkenaan.
Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan pada kesan luka akibat cakaran haiwan berkenaan.