KUALA LUMPUR: Hanya ibu yang mementingkan kebendaan dan asyik memuaskan nafsu berbelanja akan sanggup menyerahkan anak perempuan kepada orang asing untuk dikahwinkan sebagai ganti hutang piutangnya.
Panel Sosial, Ahli Majlis Perunding Islam Malaysia, Dr Mastura Badzis, berkata jika seorang itu mempunyai naluri keibuan tinggi, dia tidak sanggup melakukan perbuatan kejam terbabit apatah lagi apabila menyamakan nilai darah daging sendiri dengan barangan.
Ini yang kita kata, kalau lelaki selalu berjudi tak mampu bayar akan jual anak, tapi ibu pula tergamak berbuat perkara sama semata-mata mahu mendapatkan barang diingininya, walhal dia sedar apa dimahukan bukan barang asas atau keperluan. Semuanya kerana terlalu mengikut nafsu dan malang sekali apabila keadaan begini masih berlaku dalam masyarakat.
Ia seolah-olah gambaran sikap kita yang lebih gemar berhutang walaupun tahu keupayaan diri tidak seberapa. Lagi tak logik apabila dia sanggup pula samakan nilai anak perempuan dengan permaidani.
Apa nak jadi? Saya anggap ini sudah mencemar maruah Melayu, katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Beliau mengulas muka depan Harian Metro kelmarin mengenai pengakuan seorang wanita hanya mahu dikenali Hashimah, 29, terpaksa berkahwin dengan lelaki Pakistan yang menjual permaidani bagi melangsaikan hutang karpet ibunya kira-kira RM3,000.
Menurutnya, selepas berkahwin pada Mac, dia mengetahui tahu lelaki terbabit tidak jujur kerana selepas enam bulan suaminya meninggalkannya tanpa berita. Berikutan itu, Mastura menasihati masyarakat supaya lebih berhati-hati berfikir dengan sewajarnya termasuk soal membeli barangan supaya tidak terbelenggu hutang piutang yang tidak dituntut agama dan dikeji Allah s.w.t.
Selain itu, semangat kejiranan dan saling bantu-membantu khususnya di kampung perlu dihidupkan semula kerana ini penting apabila kejiranan mampu menolong sesiapa ditimpa kesusahan, malah menyelamatkan nasib anak gadis daripada dijual, katanya.
Sumber : Harian Metro